PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menaruh keyakinan terhadap kemampuan skuad badminton negara di Piala Thomas dari 24 April hingga 3 Mei ini apabila melabel Malaysia sebagai ‘dark horse’ yang berpotensi mencabar kejuaraan.
Meskipun kini menggalas peranan berbeza dan dijangka turun sebagai pemain perseorangan ketiga di Horsens, Denmark, pemain berusia 28 tahun itu tetap melihat Malaysia sebagai pasukan yang digeruni.
Menurutnya, skuad negara mempunyai peluang untuk melangkah jauh sekiranya setiap pemain yang dipilih menyarung jersi kebangsaan mampu memainkan peranan masing-masing dengan baik.
“Tentunya pada saya pasukan Malaysia ialah ‘dark horse’. Peluang memang ada, tetapi untuk diri saya sendiri saya tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi. Saya hanya cuba melakukan apa yang perlu sebagai pemain perseorangan ketiga.
“Kalau saya dapat beraksi, saya akan beri yang terbaik. Semua pemain yang diturunkan mempunyai peranan yang sangat penting dalam pasukan.
“Jadi, tidak kira siapa yang bermain, saya akan berikan aksi terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara sebelum berlepas ke Herning, Denmark bagi menjalani kem latihan berpusat.
Bagi edisi kali ini, Zii Jia berkemungkinan besar diturunkan sebagai pemain perseorangan ketiga dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu tetap gembira dapat bersama skuad kebangsaan.
Selain Zii Jia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut mempertaruhkan Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Aidil Sholeh Ali Sadikin untuk memperkuatkan barisan perseorangan negara.
Sektor beregu lelaki pula menyaksikan cabaran negara akan diterajui pasangan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, selain Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta gandingan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd. Rumsani.
Menjelang misi membawa pulang trofi Piala Thomas, skuad lelaki kebangsaan diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, England dan Finland.














