PARIT BUNTAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau meneruskan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) seorang daripada tiga nelayan warga Myanmar yang dilaporkan jatuh ke laut di perairan Pulau Pasir Hitam di Kuala Kurau di sini, kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Hairil Othman berkata, APMM melalui Maritime Rescue Sub Centre Langkawi telah mengaktifkan operasi Carilamat sebaik menerima maklumat tersebut.
“Sepasukan anggota dari Bot Perkasa 1238 kemudiannya digerakkan ke kawasan kejadian bagi operasi pencarian mangsa.
“Mangsa pertama, Ko Ko Aung, 35, berjaya diselamatkan oleh nelayan tempatan pada hari kejadian,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa kedua, Khin Maung Tun, 38, telah ditemui semalam oleh APMM dalam operasi Carilamat yang dijalankan.
“Seorang lagi mangsa, Sim Yau Kok, 38, masih belum ditemui,” katanya.
Hairil berkata, berdasarkan maklumat daripada rakan mangsa yang terselamat, Yau Kok dilaporkan memakai pakaian baju T kelabu dan berseluar biru ketika kejadian.
“Operasi Carilamat kini diteruskan bagi mengesan mangsa terakhir yang masih hilang denganpenglibatan aset serta pemantauan berterusan di kawasan pencarian.
“Orang awam yang mempunyai maklumat atau menemui sebarang petunjuk mengenai mangsa tersebut diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 011-3525 9910 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE














