PUTRAJAYA – Kerajaan mengambil langkah segera untuk menambah baik bantuan kepada pengguna diesel bagi meringankan beban rakyat serta memastikan aktiviti ekonomi terus berjalan lancar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan itu melibatkan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) bagi musim penanaman 2026 selain bantuan tunai Budi Agri-Komoditi dan Budi Diesel Individu.
Katanya, ia melibatkan tanggungan subsidi sekitar RM7 bilion pada bulan ini, termasuk dana tambahan RM75 juta untuk ketiga-tiga ikhtiar bantuan diesel tersebut.
Menurut Perdana Menteri, insentif IPKP bagi musim penanaman 2026 dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar melibatkan tambahan dana sekitar RM40 juta.
“Insentif ini dijangka memanfaatkan hampir 200,000 pesawah padi, yang sebahagiannya bakal memulakan penanaman padi pada bulan ini.
“Sebagai bantuan tambahan, tahun lalu juga, kerajaan memperkenalkan Insentif Penuaian sebanyak RM50 untuk sehektar semusim bagi meringankan beban kenaikan kos input,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan tunai diesel ditingkatkan Bantuan tunai Budi Agri-Komoditi dan Budi Diesel Individu dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi bulan ini yang akan disalurkan pada 21 April ini iaitu bantuan kali kedua dinaikkan susulan krisis ini.
Budi Agri-Komoditi dijangka memanfaatkan lebih 200,000 petani dan pekebun kecil dengan dana tambahan sekitar RM20 juta sebulan.
Manakala Budi Diesel Individu dijangka memanfaatkan sekitar 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung Malaysia dengan dana tambahan sekitar RM15 juta sebulan.
“Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk memudahcara pembelian diesel bagi kegunaan selain kenderaan. Syarat keperluan permit khas bagi pembelian melebihi 20 liter akan dilonggarkan,” kata kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, pemilik mesin atau jentera pertanian dibenarkan membeli diesel melebihi had tersebut dengan mengemukakan pendaftaran jentera.
Katanya, kerajaan akan memperincikan garis panduan pelaksanaan dalam tempoh terdekat. – KOSMO! ONLINE














