KUALA NERUS – Umat Islam perlu berdamping dengan al-Quran yang merupakan benteng utama mempertahankan iman dan akal dalam mendepani cabaran dunia moden masa ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penghayatan al-Quran pula perlu diterjemahkan dalam bentuk pemikiran baharu yang mampu memacu pembangunan negara.
Beliau berkata, keseimbangan antara nilai Islam dan kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) amat penting bagi memastikan sebarang pembangunan tidak tersasar daripada landasan sebenar.
“Jika mahu mempertahankan kekuatan umat, ia mesti diasaskan kepada kesedaran Islam, diperkukuh dengan ilmu dan disokong penguasaan teknologi baharu.
”Penghayatan tilawah dan bacaan al-Quran harus membawa kepada pembinaan pemikiran baharu dalam negara,” katanya ketika merasmikan majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat Kebangsaan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu, di sini malam ini.
Program tahunan yang akan berlangsung sehingga Sabtu ini tersebut bakal disertai 108 peserta dari seluruh negara terdiri 14 qari, 14 qariah serta 80 peserta hafazan.
Anwar berkata, roh Islam yang berpaksikan al-Quran perlu dipertahankan umat dan dalam masa sama gigih menguasai teknologi baharu termasuk teknologi maklumat dan AI.
Beliau berkata, penguasaan teknologi perlu didalami dalam kerangka nilai Islam kerana tiada ilmu yang boleh diterima tanpa terikat dengan akal budi, akhlak dan nilai. – KOSMO! ONLINE














