fbpx
NURUL AMIR (dua dari kanan) menyerahkan cenderamata kepada Md. Amin di UPSI, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Tanjung Malim hari ini.

UPSI, ATU jalin kolaborasi pembangunan sumber manusia ketenteraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjalin kolaborasi strategik dengan Akademi Tentera Udara (ATU) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi memperkukuh pembangunan sumber manusia ketenteraan yang melibatkan aspek pendidikan, latihan pedagogi serta kebolehpasaran anggota.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, universiti itu menawarkan kepakaran dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan etnik dan latihan profesional.

“UPSI menawarkan kursus bahasa Etnik di negara ini termasuk bahasa Semai selain mempunyai pakar dan pensyarah daripada komuniti Orang Asli sendiri.

“Justeru, usaha TUDM merekrut belia Orang Asli dalam bidang teknikal atau kejuruteraan membolehkan kami membantu dari segi latihan asas atau penyediaan kursus khas yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata sedemikian di UPSI Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Tanjung Malim hari ini.

Katanya, kerjasama itu membuka ruang pelaksanaan program Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) bagi memberi peluang kepada anggota TUDM menukar pengalaman kerja kepada kelayakan akademik.

“Anggota yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun boleh menukarkan pengalaman tersebut kepada kredit akademik untuk memperoleh diploma atau Ijazah.

“UPSI juga mencadangkan pelaksanaan latihan keusahawanan digital bagi membantu anggota tentera membuat persediaan awal menghadapi kehidupan selepas tamat perkhidmatan,” katanya.

Sementara itu, Komandan ATU TUDM, Kolonel Nurul Amir Othman berkata, fokus utama akademi tersebut ialah meningkatkan penyertaan belia Orang Asli dalam TUDM, khususnya dalam bidang teknikal seperti teknisyen pesawat, pembantu juruteknik dan kru udara.

“Kami melihat program ini sebagai satu peluang besar namun penyertaan masih rendah ketika ini dan memerlukan sokongan pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan.

“Kolaborasi ini dilihat mampu memperkukuh sinergi antara institusi pendidikan dan ketenteraan dalam melahirkan modal insan berkualiti, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan negara.” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN