fbpx
PELAKON Cristina Suzanne pegang prinsip tidak terlalu berkongsi hal peribadi dalam ruang media sosial. – AMIR KHALID

‘Bahagia atau sedih, cukup simpan sendiri sahaja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ramai selebriti tanah air rancak berkongsi kehidupan peribadi dalam media sosial, Cristina Suzanne mempunyai pendirian berbeza.

Menjaga ruang privasi diri dan keluarga demi kesejahteraan hidup, pendekatan tersebut sudah dipraktikkan aktres berusia 41 tahun itu sejak mula-mua bergelar anak seni.

Bagi pemilik nama penuh Cristina Suzanne Stockstill itu, selain perihal kerja, dia memberitahu tidak mempunyai keperluan lain untuk menjemput khalayak masuk ke dalam kehidupan peribadinya.

“Saya memang agak keberatan untuk memuat naik foto dalam akaun media sosial sebab rasa tidak perlu pun. 

“Sejak dahulu lagi saya memang berpegang kepada prinsip tidak menunjuk-nunjuk kehidupan peribadi atau perkara lain.

“Termasuk juga tak kongsi berkaitan harta, kebahagiaan atau kesedihan, cukup simpan sendiri dan kongsi dengan Tuhan sahaja,” katanya kepada HibGlam.

Namun, jauh di sudut hati, dia mengakui media sosial amat penting dalam memastikan peminat dan khalayak mengetahui perkembangan semasa atau projek terkini selebriti kegemaran mereka.

“Saya tak nafikan memang penting untuk selalu kemas kini media sosial dengan berkongsi tentang kerja dan sebagainya tetapi adakalanya saya keliru dan tidak tahu untuk menulis kapsyen.

“Kalau tentang kerjaya, masih okey tetapi setakat nak tunjuk kebahagiaan, rasa-rasanya semua orang melalui fasa sama.

“Saya juga berpegang kepada apa yang agama sendiri didik iaitu jangan terlalu menunjuk, negatif atau positif macam mana sekali pun hidup, jangan kongsi dan beritahu kepada Tuhan saja,” tutur bintang filem KIL itu.

Ujarnya, terlalu banyak berkongsi tentang kehidupan dalam media sosial juga mampu mengundang pelbagai perkara negatif .

“Kalau kongsi terlalu banyak, mungkin akan cipta lebih banyak spekulasi, saya memang tak mahu jadi begitu.

“Sebenarnya kalau tak mahu orang mula (cipta spekulasi), kita jangan bagi ruang kecuali memang kehendak sendiri,” jelas pemenang trofi Pelakon Harapan Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-26 itu.

Dalam pada itu, dia sempat memberitahu kerjaya lakonannya masih rancak waima timbul dakwaan kononnya sudah ‘pencen’ sebagai seorang pelakon.

Tuturnya, tanggapan sebegitu mungkin wujud disebabkan tidak aktif berkongsi perkembangan kerjaya seni dalam media sosial.

“Syukur tawaran lakonan sentiasa ada tetapi saya tak nafikan ada pihak produksi dan segelintir individu anggap saya tidak berlakon lagi sebab jarang muat naik foto dalam media sosial.

“Selain dakwaan berhenti berlakon, ramai juga tertanya-tanya mengenai penampilan terkini saya, kurus atau sebaliknya sedangkan semua sama sahaja, tiada perubahan sejak dahulu,” katanya.

Jangkar

Berkongsi mengenai kerjaya, Cristina bakal memulakan penggambaran sebuah filem epik terbaharu terbitan Metrowealth International Group (MIG) berjudul Jangkar arahan Jason Chong.

Selain Cristina, Jangkar yang akan menjalani penggambaran di Sarawak dan Perak turut dibintangi Yusof Hashim, Fikry Ibrahim, Noki K-Clique, Alieff Irfan dan Datuk Tarmimi Siregar.

Memegang watak ibu kepada seorang tentera, dia sebenarnya sudah lama menyimpan impian untuk terlibat dalam filem epik dan kini impian tersebut  menjadi realiti.

“Ini filem epik dan sebenarnya saya sudah lama ingin terlibat dalam naskhah genre begini, tentang sejarah dan sebagainya. Namun, walaupun bukan watak utama, saya tetap teruja dengan tawaran filem ini,” tuturnya.

Bercerita lanjut, Cristina memberitahu wataknya menuntutnya untuk bermain dengan emosi sebagai seorang ibu.

“Saya baca skrip dan bayangkan watak itu pun sudah bergenang air mata. 

“Watak-watak ibu tidak sukar pun sebab saya sendiri sudah ada anak cuma perlu pastikan penonton juga dapat merasai emosi tersebut,” noktahnya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN