fbpx
HAFIZH Syahrin ketika meraikan kemenangan bersama pasukannya, JDT Racing Team di Sepang.

Hafizh Syahrin mohon maaf aksi bahaya di Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui kesilapannya dan memohon maaf susulan aksi berbahaya ketika meraikan kemenangan pada Perlumbaan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), semalam.

Pelumba JDT Racing Team itu dikesan memperlahankan jentera sejurus melintasi garisan penamat dalam perlumbaan kategori ASB1000 di Litar Antarabangsa Sepang, sekali gus mencetuskan situasi berisiko kepada pelumba lain.

Tindakannya itu hampir mengundang kemalangan apabila rakan sepasukannya, Andi Farid Izdihar nyaris melanggarnya dari arah belakang, namun Andi sempat mengelak.

Ketika itu, Andi sedang memecut laju menuju garisan penamat dalam perebutan sengit tempat kedua bersama pelumba Jepun, Keito Abe.

“Susulan insiden yang berlaku ketika Perlumbaan 2 semalam, saya ingin menjelaskan situasi tersebut dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas tindakan saya.

“Pertama sekali, saya mengakui bahawa tindakan saya di garisan penamat, khususnya cara saya meraikan kemenangan, adalah tidak sesuai dan boleh menimbulkan risiko kepada pelumba lain yang masih menamatkan perlumbaan. Saya amat kesal atas kesilapan ini.

“Saya menerima sepenuhnya keputusan yang dibuat oleh Race Direction, termasuk penalti yang dikenakan. Saya memahami bahawa keselamatan adalah keutamaan tertinggi dalam sukan ini dan saya menghormati keputusan tersebut tanpa sebarang bantahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut mengenai situasi itu, Hafizh menjelaskan terdapat faktor teknikal yang menyumbang kepada penurunan kelajuan jenteranya secara tiba-tiba akibat kekurangan bahan api, namun tidak menjadikannya sebagai alasan.

“Saya ingin memohon maaf kepada semua pelumba yang terkesan dengan insiden ini, serta kepada penganjur, pasukan dan peminat. Tindakan saya tidak mencerminkan standard yang saya pegang sebagai seorang pelumba profesional.

“Saya tetap bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan saya. Saya akan belajar daripada pengalaman ini dan memastikan perkara seperti ini tidak berulang,” tambahnya.

Hafizh yang melakar dua kemenangan berturut-turut pada aksi pembukaan kelas ASB1000 di Sepang itu dikenakan penalti AS$500 serta penalti Long Lap bagi perlumbaan seterusnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN