PETALING JAYA – Tindakan nekad seorang wanita mengandung melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) terhadap bapanya yang terkena serangan jantung mengundang rasa sebak orang ramai di media sosial.
Dalam video yang dikongsi Amirah Mohd. Yusoff di media sosial memaparkan dia melakukan CPR selama 17 minit tanpa henti demi menyelamatkan nyawa bapanya.
Amirah yang juga seorang pramugari, kini sedang bercuti panjang (maternity leave) memandangkan polisi kerjayanya yang tidak membenarkan tugasan penerbangan bermula dari awal kehamilan hingga tamat tempoh berpantang.
Menerusi video yang dikongsinya di Instagram, Amirah dilihat melakukan CPR di ruang tamu rumahnya sambil dibimbing oleh operator hospital melalui panggilan telefon selepas bapanya, Mohd. Yusoff, tiba-tiba tidak sedarkan diri akibat serangan jantung.
Meskipun mempunyai asas pertolongan cemas (basic first aid) yang dipelajari sepanjang kerjayanya, Amirah mengakui fikirannya menjadi buntu apabila situasi kecemasan itu melibatkan darah daging sendiri.
“Saya memang ada asas pertolongan cemas, cuma ini kali pertama saya lalui pengalaman sebenar dalam hidup. Sejujurnya, saya sangat takut dan cemas ketika itu tetapi saya cuba kuatkan semangat demi abah.
“Saya jadi buntu seketika kerana sudah lama bercuti, namun nasib baik pihak hospital sedia memberikan arahan melalui telefon,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Dalam rakaman video yang menyayat hati itu, Amirah terus melakukan kompresi dada selama 17 minit tanpa henti meskipun dalam keadaan hamil dan kepenatan yang teramat.
Keadaan menjadi lebih pilu apabila bapanya mengalami pendarahan ketika bantuan pernafasan dilakukan, namun dia tetap meneruskan usaha itu sehingga pasukan ambulans tiba di lokasi.
Bagaimanapun, takdir mengatasi segalanya apabila Mohd. Yusoff disahkan meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital.
Menurutnya, dia telah mendapatkan pengesahan daripada pihak paramedik bahawa teknik CPR yang dilakukannya adalah tepat dan tidak mempunyai sebarang kesilapan.
“Saya ingatkan saya salah buat (teknik CPR), tetapi rupanya pada waktu itu abah memang sudah tiada.
“Abah saya memang ada kanser hati, jadi peluang untuk hidup sangat tipis walaupun buat CPR,” ujarnya hiba.
Rata-rata pengguna turut memuji tindakan berani Amirah yang tetap tenang menjalankan tanggungjawab terakhir sebagai anak meskipun sedang berbadan dua.
Jenazah Mohd. Yusoff selamat dikebumikan pada 9 April lalu dan Amirah kini hanya mampu mendoakan agar bapanya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
“Ira sudah sudah cuba yang sehabis baik abah,” tulis Amirah di media sosialnya. – KOSMO! ONLINE














