PETALING JAYA – Isu pengurusan masa dan disiplin dalam mencari kerja menjadi perhatian selepas seorang panel temu duga meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir calon yang gagal menghadirkan diri tepat pada waktunya.
Menerusi satu hantaran di Threads oleh _Saefulzin berkata, kelibat calon masih belum kelihatan di lokasi walaupun hanya berbaki seminit sebelum sesi temu duga bermula iaitu pada jam 9:00 pagi.
“Masa temu duga pukul 9.00 pagi dan sekarang sudah 8.59 pagi. Seorang calon pun belum sampai lagi,” katanya.
“Adakah generasi sekarang memang tidak serius mahu mencari kerja ke?,” tambahnya lagi.
Rata-rata pengguna turut meluahkan pandangan mengenai punca kegagalan calon untuk hadir awal.
Menurut Snorrlakss_95, dia berpendapat wujudnya amalan ‘calon dalaman’ yang menyebabkan sesi temu duga sekadar formaliti semata-mata.
“Hal ini mendorong generasi sekarangi untuk lebih berhati-hati bagi mengelakkan pembaziran masa, tenaga, dan kos,” ujarnya.
“Mungkin sebab gaji yang ditawarkan tidak setimpal, jadi keseriusan calon pun berkurang,” tambah Zee1980_Insight pula.
Walau bagaimanapun, terdapat juga pengguna yang mempertahankan kepentingan disiplin diri, dengan menyatakan bahawa menepati masa adalah asas profesionalisme tanpa mengira tahap jawatan yang dipohon.
“Saya pernah hadir temu duga sejam lebih awal, tapi panel pula yang masuk lewat. Sebagai calong temu duga, kita harus menunjukkan komitmen yang terbaik,” jelas Ieyxxat82. – KOSMO! ONLINE














