KUALA LUMPUR – Polis memberi amaran kepada masyarakat supaya berwaspada dengan taktik penipuan baharu yang menawarkan perkhidmatan mendapatkan semula wang mangsa yang ditipu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, modus operandi itu dikesan makin berleluasa sejak kebelakangan ini khususnya di platform media sosial.
Menurut Rusdi, sindiket tersebut menyasarkan individu yang menjadi mangsa penipuan dengan menyamar sebagai wakil agensi National Scam Response Centre (NSRC).
“Mangsa yang tertarik dengan iklan di Facebook akan dihubungi melalui WhatsApp. Suspek mendakwa dapat membantu mendapatkan semula wang yang hilang.
“Namun, mereka mengenakan bayaran pendahuluan sebagai syarat perkhidmatan seterusnya meminta bayaran tambahan tanpa sebarang pemulangan seperti dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan rekod JSJK, sebanyak enam kes melibatkan penipuan seumpama itu direkodkan dari 2025 hingga Mac lalu dengan jumlah kerugian RM68,491.
“Kes-kes ini melibatkan beberapa negeri termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu. Kebanyakannya membabitkan mangsa yang diperdaya kali kedua,” jelasnya.
Tambah beliau, tiada mana-mana pihak boleh menjanjikan pemulangan wang yang ditipu secara mudah, apatah lagi dengan mengenakan bayaran pendahuluan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran sedemikian dan sentiasa membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan. – KOSMO! ONLINE














