TREND golongan muda hari ini yang dilihat semakin selesa hidup dengan pelbagai komitmen bulanan mengundang kebimbangan, terutama apabila tabiat berbelanja dilihat lebih mendahului budaya menyimpan.
Walaupun ramai sanggup mengikat diri dengan bayaran ansuran ratusan ringgit setiap bulan bagi memiliki kereta, telefon bimbit atau kelengkapan rumah, hakikatnya masih ramai mengakui sukar menyimpan walaupun RM100 sebulan.
Situasi itu memperlihatkan wujudnya jurang besar antara keinginan memiliki sesuatu dengan tahap disiplin kewangan, sekali gus mencerminkan cabaran sebenar anak muda dalam mengurus kehidupan pada era serba segera.
Lebih membimbangkan, budaya berhutang lebih-lebih lagi wujudnya skim ‘Beli Dahulu, Bayar Kemudian’ (BNPL) yang memenuhi gaya hidup kini seolah-olah menjadi kebiasaan, sedangkan amalan menyimpan sepatutnya menjadi asas kestabilan kewangan terus diketepikan.
Pakar kewangan, Afyan Mat Rawi berkata, jika mengikut logik, seseorang yang mampu membayar ansuran kereta sebanyak RM500 sebulan sepatutnya juga mampu menyimpan jumlah sama sebelum membuat keputusan membeli kenderaan.
Katanya, perkara itu jarang berlaku kerana masalah sebenar bukan terletak pada kemampuan, sebaliknya pada cara berfikir.
“Kalau ikut logik, kalau mampu bayar ansuran kereta RM500, sepatutnya mampu simpan RM500 sebulan sebelum beli kereta. Tapi kenapa benda ni jarang berlaku? Jawapannya adalah corak pemikiran.
“Tidak ada disiplin untuk tangguh kepuasan mahukan instant gratification. Semua nak cepat. Nak rasa sekarang. Akhirnya, semua benda jadi hutang. Mula dengan kereta, kemudian perabot, lepas tu telefon. Sekarang, barang RM100 di platform e-dagang pun sanggup berhutang,” katanya.
Menurutnya, tidak dinafikan kereta menjadi satu keperluan, khususnya bagi mereka yang berkeluarga atau perlu bergerak untuk urusan kerja.
Bagaimanapun, beliau berkata, realiti hari ini menunjukkan graduan baharu bergaji sekitar RM2,000 juga lebih cenderung membeli kereta berbanding memulakan tabiat menyimpan, malah ada yang terus memilih kenderaan dengan ansuran bulanan mencecah RM700 hingga RM800.
Katanya, keadaan itu lebih ketara apabila ada dalam kalangan anak muda sanggup menanggung komitmen tinggi walaupun tinggal di Lembah Klang yang mempunyai pelbagai kemudahan pengangkutan awam.
“Nak simpan RM100 susah. Pada masa sama, sanggup bayar ansuran RM700 hingga RM800 setiap bulan.
“Kalau jumlah sama disimpan secara konsisten, dalam lima tahun boleh kumpul RM48,000. 800 darab 12 darab 5, hasilnya RM48,000,” ujarnya.
Katanya, terdapat satu prinsip penting dalam pengurusan kewangan iaitu delay gratification, iaitu kebolehan menahan kepuasan demi kesenangan masa depan.
Menurutnya, prinsip itu bukan bermaksud seseorang perlu hidup kedekut, sebaliknya satu strategi bina kestabilan kewangan secara berperingkat. -KOSMO! ONLINE














