PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan telah menjalankan siasatan susulan penularan video di media sosial berhubung dakwaan pengisian diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Segambut, di sini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, siasatan segera oleh pasukan penguat kuasa KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapati kejadian tersebut berpunca daripada kehabisan stok diesel ketika proses pengisian sedang berlangsung.
“Dalam insiden itu, meter pam didapati terus merekodkan jumlah bayaran walaupun bekalan diesel telah habis. Hasil siasatan lanjut mendapati stesen minyak berkenaan tidak dilengkapi sistem pengesan isipadu automatik atau ciri ‘automatic cut-off’ apabila stok kehabisan, sebaliknya hanya bergantung kepada kaedah pemeriksaan manual (manual dipping),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan turut mengesahkan jumlah sebenar diesel yang diisi adalah sebanyak RM232.07 dan pihak stesen telah mengambil tindakan segera dengan memulangkan semula bayaran penuh kepada pelanggan terlibat pada 9 April lalu.
“Pengadu juga telah bersetuju dengan penyelesaian tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, pemeriksaan teknikal mendapati semua pam minyak di premis itu masih berada dalam tempoh tentusah sah, manakala ujian menggunakan Sukat Isipadu Cecair (SIC) 20 liter menunjukkan bacaan sukatan berada dalam had selisih yang dibenarkan.
“Semakan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 juga mendapati lesen CSA dan PDA stesen berkenaan adalah sah dan masih berkuat kuasa,” katanya.
Bagaimanapun, tegasnya, pihak stesen telah diberikan amaran keras agar memastikan pematuhan penuh terhadap semua keperluan perundangan serta meningkatkan pemantauan operasi.
“Kejadian ini adalah terpencil dan tidak mencerminkan keadaan keseluruhan sistem bekalan bahan api yang kekal stabil dan terkawal,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














