fbpx
POLIS mengangkat pergi seorang penunjuk perasaan yang ditahan di Dataran Trafalgar, tengah London semalam. – AFP

Polis London tahan lebih 500 penunjuk perasaan pro-Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Polis London menahan lebih 500 penunjuk perasaan pro-Palestin dalam satu demonstrasi yang menyokong kumpulan terlarang, Palestine Action semalam.

Anggota-anggota polis mengangkat aktivis pergi sambil diiringi sorakan dan tepukan oleh  penunjuk perasaan lain yang berhimpun di  Dataran Trafalgar, London.

Mereka membawa sepanduk menyokong kumpulan diharamkan kerajaan, Palestine Action.

Polis Metropolitan London berkata di platform X bahawa pihaknya menahan seramai 523 orang  berusia antara 18 hingga 87 tahun.

Palestine Action diisytiharkan organisasi pengganas pada Julai 2025, menjadikannya kesalahan jenayah untuk menyertai atau menyokong kumpulan itu. Mereka yang didapati bersalah pula boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun.

Mahkamah Tinggi London bagaimanapun mengekalkan cabaran terhadap larangan itu pada pertengahan Februari lalu dengan hujah ia menggugat hak kebebasan bersuara.

Kerajaan pula diberikan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan tersebut.

“Sangat penting untuk terus hadir. Adalah penting untuk kita semua terus menentang genosid. Kerajaan mungkin berdolak-dalih dalam hujah mereka tetapi moral orang-orang (di sini) tidak berubah,” kata penunjuk perasaan dikenali sebagai Freya, 28.

Polis membuat hampir  3,000 tangkapan sejak larangan ke atas Palestine Action dikuatkuasakan, terutamanya kerana kesalahan  membawa sepanduk mempertahankan pertubuhan tersebut. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN