fbpx
Gambar yang dimuat naik oleh @Wansyahmi__ di laman Threads memaparkan dirinya (kanan) bersama anak guamnya (kiri)

Penantian 10 tahun berakhir, penjawat awam bebas tuduhan dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penantian selama sedekad akhirnya berakhir apabila seorang penjawat awam dibebaskan daripada tuduhan berkaitan dadah oleh Mahkamah Rayuan.

Menerusi perkongsian seorang peguam, @Wansyahmi__ di laman Threads, kes tersebut bermula pada 2016 apabila anak guamnya disabitkan di Mahkamah Majistret sebelum keputusan itu diubah oleh Mahkamah Tinggi yang membebaskannya.

Bagaimanapun, rayuan lanjut oleh pihak pendakwaan menyebabkan kes tersebut berlarutan sehingga 10 tahun, sekali gus memberi kesan besar terhadap kehidupan lelaki terbabit.

“Dalam tempoh itu, dia tak dapat cari kerja lain sebab terikat sebagai penjawat awam dan dia pun sayang kerja dia,” katanya.

Tambahnya, keadaan kesihatan lelaki itu juga tidak begitu baik sepanjang tempoh berkenaan selain berdepan tekanan akibat pertuduhan yang dikenakan.

Katanya, keputusan akhir di Mahkamah Rayuan hari ini menyaksikan lelaki tersebut dilepaskan daripada tuduhan melibatkan ujian air kencing berkaitan dadah.

“Saya tengok dia terus sujud syukur dalam mahkamah, dan saya sendiri menangis masa dengar keputusan… tak pernah saya nangis bila dengar keputusan kes,” katanya lagi.

Menurutnya, detik itu menjadi antara pengalaman paling menyentuh sepanjang kerjayanya sebagai peguam.
Dalam pada itu, dia turut berkongsi kata-kata semangat yang sering diberikan kepada anak guamnya agar tidak berputus asa.

“Ingat, jika Allah izinkan maka Allah akan izinkan. Jangan pernah berputus asa,” ujarnya.

Seorang pengguna, @Amienfadillah_, menganggarkan kerugian pendapatan lelaki itu mencecah ratusan ribu ringgit sepanjang 10 tahun kes berlarutan.

“Katakanlah gaji abang ni dulu gai kasar campur semua RM3,500. 10 tahun bersamaan 120 bulan, jadi RM3,500 darab 120 bulan ialah RM420,000. Kalau kira gaji dan bonus, lebih kurang RM455,000 kerugian sepanjang 10 tahun. Memang banyak akan dapat,” katanya.

Selain itu, seorang lagi pengguna, @Moazrabiaz menyifatkan kisah tersebut sebagai inspirasi kepada orang ramai khususnya golongan muda.

“Terima kasih banyak, aku doakan ramai anak muda jadikan cerita ini sebagai inspirasi… semoga murah rezeki,” katanya.

Sementara itu, @Husnaazman pula menegaskan bahawa kes berkenaan memperlihatkan sisi sebenar profesion guaman yang jarang diketahui umum.

“Ini sisi khidmat peguam yang orang tak nampak. Mana yang kita tolong, kita tolong bersungguh-sungguh. Satu sahaja, jangan bersikap kasar dengan peguam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN