fbpx
Azadan berkata, konsert Legenda Nada Murni, yang sepatutnya berlangsung pada 7 Disember tahun lalu ditunda atas alasan penarikan penganjur terdahulu.

Konsert Legenda Nada Murni ditunda, cari penganjur baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – “Bukan dibatalkan, hanya ditunda.”

Demikian kata anggota kumpulan Rabbani, Azadan apabila diminta mengulas tentang konsert Legenda Nada Murni, yang sepatutnya berlangsung pada 7 Disember tahun lalu.

Menurutnya, konsert berkenaan ditangguhkan untuk memberi ruang kepada syarikat produksi, Karri Talk mendapatkan penganjur baharu bagi menggantikan penganjur asal yang menarik diri ekoran isu dalaman syarikat mereka.

“Syarikat penaja Karri Talk telah mengeluarkan wang sebanyak RM200,000 membabitkan deposit artis, promosi, penganjuran sidang media, deposit sewa lokasi dan hampir 1,000 tiket telah terjual.

“Oleh itu, penaja tetap mahu meneruskan konsert ini dan sedang mencari penganjur baharu. Saya difahamkan ada beberapa pihak yang berminat cuma perlu memilih dengan lebih berhati-hati, ” katanya yang ditemui ketika rumah terbuka Munsyid Malaysia, semalam.

Dalam masa yang sama, Azadan turut meluahkan rasa kecewa bukan sahaja kerana penganjur asal menarik diri, malah gagal menyelesaikan urusan permohonan permit beberapa minggu sebelum konsert tersebut dijadualkan berlangsung.

“Ketika itu, jika kami mahu teruskan saat akhir pun tidak boleh kerana permit tidak disediakan penganjur asal, sedangkan cuma berbaki beberapa minggu sahaja sebelum konsert berlangsung.

“Sebenarnya selepas penganjur asal tarik diri, muncul penganjur lain yang berminat untuk meneruskan konsert berkenaan, tapi mereka membatalkan hasrat disebabkan ketiadaan permit,” jelasnya.

Pemilik nama penuh Azadan Abdul Aziz juga mengakui kecewa dengan penganjur asal yang dikatakan bersikap sambil lewa dalam menguruskan konsert Legenda Nada Murni.

“Penganjur asal itu adalah orang industri dan dikenali ramai. Kalau sebut nama, orang industri tentu kenal. Bahkan dia tidak asing dalam kalangan artis popular, pernah bekerjasama dengan nama besar.

“Tapi agak mengejutkan apabila gerak kerjanya tidak profesional. Saya pula yang terpaksa desak mereka gerakkan kerja dari semasa ke semasa dan ambil alih beberapa tugas penganjur.

“Memang kami kecewa apabila jadi begini kerana yang terjejas adalah nama Nada Murni, kumpulan yang dianggap ‘otai’ atau senior dalam kalangan penggiat muzik nasyid tanah air.

“Peminat juga sudah tentu menantikan persembahan kami. Tapi saya tidak tergamak untuk mendedahkan siapa penganjur ini. Malah saya pernah nasihatkan dia agar muhasabah diri. Saya faham kita tidak lari daripada melakukan kesilapan,” kongsinya.

Disebabkan apa yang berlaku, Azadan menasihati artis lain agar teliti dalam memilih penganjur apabila berhasrat untuk menganjurkan konsert.

“Buat penganjur, janganlah fikir keuntungan semata-mata kerana artis yang menanggung kesan apabila konsert tidak jadi.

“Ini memang pengajaran terbesar buat kami, selepas ini kami akan lebih berhati-hati,” ujarnya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN