PETALING JAYA – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membatalkan Lesen Pengendali (LA) syarikat MFG Barokah Enterprise susulan kemalangan maut melibatkan sebuah treler kendalian syarikat itu dengan dua kenderaan lain di Gemas Baru, Segamat, Johor baru-baru ini.
APAD berkata, siasatan mendapati syarikat tersebut gagal mematuhi Perkara 30 Keperluan Tahap Perkhidmatan iaitu keperluan mematuhi Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP).
Katanya, syarikat berkenaan juga gagal memastikan kenderaan diselenggara dengan baik, gagal mengawal/menjaga kelakuan pemandu, gagal mengutamakan keselamatan pengguna lain dan mempunyai rekod pemanduan melebihi had laju yang dibenarkan.
“Mesyuarat Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen (JPPL) APAD yang bersidang semalam memutuskan MFG Barokah Enterprise gagal memenuhi syarat lesen yang diperuntukkan di bawah Seksyen 57(1)(b)(viii), Seksyen 58(1)(b) dan Seksyen 58(1)(c) Akta 715.
“Selaras dengan kuasa di bawah Seksyen 62 Akta 715, APAD memutuskan untuk membatalkan Lesen Pengendali 202303040540 berkuat kuasa hari ini,” katanya dlaam kenyataan di sini semalam.
Berikutan tindakan itu, MFG Barokah Enterprise tidak dibenarkan untuk mengendalikan perkhidmatan menggunakan mana-mana kenderaan yang dilesenkan di bawah Lesen Pengendali Berkenaan.
Kosmo! pada 2 April lalu melaporkan tiga sekeluarga maut, manakala dua lagi parah dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 212, Jalan Johor Bahru-Seremban berhampiran kawasan simpang ke arah Taman Golden Hill, Gemas Baru.
Kejadian pada pukul 3.45 petang itu melibatkan sebuah treler, van dan lori 10 tan. Ekoran kejadian itu, seorang pemandu treler didakwa di Mahkamah Majistret Segamat atas tiga pertuduhan kerana membunuh pada Selasa lalu. – KOSMO! ONLINE














