LONDON – Legenda Chelsea, Frank Lampard kembali dikaitkan dengan mengemudi kelab lamanya itu selepas berjaya membimbing Coventry City berada pada prestasi terbaik ketika ini.
Lampard sedang mencuri perhatian bersama Coventry apabila hampir membawa kelab itu kembali ke EPL dengan menerajui saingan Liga Kejuaraan dengan kelebihan 12 mata di puncak saingan.
Kejayaan tersebut turut membuka ruang untuk pengendali itu dikaitkan semula dengan Chelsea, terutama ketika kedudukan pengurus semasa, Liam Rosenior dilihat agak goyah dan semakin sukar.
Bekas pemain Manchester United, Nicky Butt berpendapat, Lampard kini jauh lebih matang berbanding ketika kali pertama mengendalikan Chelsea.
“Dia kini jurulatih berbeza dengan lebih pengalaman. Jika kembali ke Chelsea, saya fikir dia mampu melakukan tugas dengan lebih baik,” jelasnya.
Sementara itu, bekas pemain Arsenal, Ray Parlour yang percaya Lampard tidak akan menolak peluang kembali ke EPL, bukan sahaja untuk mengemudi Chelsea tetapi sekiranya mendapat tawaran lain biarpun daripada musuh The Blues sekali pun.
“Ini adalah pekerjaan yang Lampard tidak mampu tolak. Jika ada tawaran daripada Tottenham sekali pun, dia perlu menerimanya,” katanya.
Dengan minat beberapa kelab besar mula muncul, masa depan Lampard kini kembali menjadi perhatian, sama ada kekal setia dengan projek di Coventry atau mencuba nasib bersama kelab lain. – AGENSI














