PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan ribut petir membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung dan Sabah hingga pukul 5 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah Kedah (Padang Terap, Sik dan Baling) dan Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di kawasan Kelantan (Jeli, Machang dan Pasir Puteh) serta Terengganu (Besut, Setiu dan Hulu Terengganu).
“Selain itu, kawasan yang dijangka terjejas adalah Johor (Mersing) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Kuantan dan Pekan),” kata MetMalaysia hari ini.
Sementara itu di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang, Beaufort dan Tambunan) dan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














