KANGAR – Seorang penjawat awam direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes menerima rasuah kira-kira RM200,000 sebagai habuan menguruskan pemberian pingat dan bintang.
Perintah reman sehingga 13 April itu dikeluarkan Majistret Nurul Natasha Rizal selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kangar.
Menurut sumber, suspek berusia 57 tahun itu ditahan pada pukul 2.40 petang pada semalam di pejabat SPRM Perlis disyaki terlibat dalam urusan mendapatkan darjah kebesaran daripada sebuah pertubuhan kira-kira dua tahun lalu.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menerima wang sebagai habuan bagi menguruskan pemberian pingat dan bintang daripada sebuah pertubuhan pada tahun 2024 dengan jumlah dianggarkan sekitar RM200,000,” katanya.
Tambah sumber, beberapa saksi turut dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani mengesahkan penahanan lelaki terbabit dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE














