fbpx
Dr. Maza, PU Rahmat Ikhsan

Nilai setiap hal dengan pengetahuan, bukan emosi – Dr. Maza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menegur penggunaan perkataan oleh pendakwah bebas, PU Rahmat Ikhsan yang disifatkan kurang sesuai ketika membicarakan peranan wanita dalam operasi berisiko khususnya isteri dan anak perempuan.

Menerusi hantaran di Facebook, Mohd. Asri atau Dr. Maza berkata, keizinan suami atau bapa untuk isteri dan anak perempuan menyertai operasi berisiko boleh menjadi pandangan yang mungkin mempunyai alasan tertentu.

Bagaimanapun, katanya, soal keselamatan dan maruah wanita perlu sentiasa diberikan perhatian dari pelbagai sudut sebelum sesuatu keputusan itu dibuat.
“Ini kerana asalnya wanita tidak didedahkan kepada bahaya perang atau apa-apa bahaya tanpa keperluan. Lelaki pula hendaklah sentiasa melindungi keselamatan isteri dan anak-anak khususnya perempuan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya berada keadaan memerlukan khidmat wanita, golongan itu boleh turut serta sebagaimana sahabat wanita yang menyertai Nabi Muhammad SAW dalam peperangan sebagai perawat dan pembantu.

Katanya, penglibatan itu dianggap sebagai satu amalan berpahala, namun ia mestilah tertakluk kepada tujuan operasi yang menepati syarak, keizinan suami dan kesesuaian dari sudut diri wanita itu sendiri.
“Jika itu semua memenuhi, maka mereka boleh sertai sesuatu operasi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Maza turut menegur kenyataan yang menggambarkan wanita tidak menyertai operasi sedemikian hanya ‘disimpan di rumah’ seolah-olah tidak memainkan sebarang peranan.

Tegasnya, ungkapan demikian amat tidak sesuai kerana kedudukan asal wanita sememangnya berada di bawah perlindungan suami atau wali, dan mereka tidak sepatutnya dibiarkan terdedah kepada bahaya tanpa keperluan.

“Dalam semangat mahu memperjuangkan sesuatu yang kita percaya benar, kita juga hendaklah menilai setiap hal dengan imbangan pengetahuan, bukan emosi. Semoga semua pihak saling memahami,” katanya.

Dalam masa sama beliau percaya niat PU Rahmat baik, namun berpandangan ayat yang digunakan tidak sesuai dan tidak perlu dijadikan alasan untuk semua pihak saling mengecam.

Terdahulu, pendakwah bebas dan aktivis Global Sumud Flotilla, PU Rahmat dikritik selepas mengeluarkan kenyataan kontroversi bagi mempertahankan tindakan Nadzmi Adhwa yang membenarkan isterinya Ardell Aryana menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN