PUTRAJAYA – Kerajaan telah membuat segala pertimbangan sebelum mengurangkan kuota Budi Madani RON95 (Budi95) termasuk mengambil kira cabaran masa depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika kuota itu dikembalikan semula, beliau khuatir ia akan membebankan rakyat pada masa depan.
Menurutnya, beliau mengakui ada pihak yang mengeluh dan ada yang masih bertahan dengan kuata baharu itu.
“Saya boleh luluskan (kembalikan kuota asal) bagi menyenangkan rakyat dan bagi semua happy (gembira) sementara, selepas itu masing-masing akan terima beban. Tak boleh (ia tidak boleh dilakukan).
“Apa-apa dasar yang diputuskan oleh kerajaan telah memikirkan cabaran kini dan cabaran masa depan. Apa yang kita boleh lakukan, kita lakukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini
Katanya, beliau juga mengakui ada pihak terkesan dengan pengurangan kuota BUDI95 itu tapi mengembalikan kuota asal tidak menyelesaikan masalah dihadapi majoriti rakyat.
Pada masa sama, Anwar berkata, isu kenaikan harga diesel juga telah memberi kesan besar kepada sektor pengangkutan negara.
“Kerajaan cuba bantu melalui pelbagai inisiatif tetapi belum selesai sepenuhnya. Hari-hari kita dengar isu ini. Ada sektor terbantut dan ada yang masih terkesan seperti sektor pelancongan. Kita perlu dengar dan selesaikan sebaik mungkin secara berperingkat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














