JASIN – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menolak surat peletakan jawatan Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri yang dihantar pada Januari lalu.
Menurut Ab. Rauf, keputusan itu dibuat bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri terus terpelihara.
“Beliau mengemukakan surat peletakan jawatan sejurus selepas membuat pengumuman tersebut, tetapi saya membuat keputusan untuk menolak peletakan jawatan itu supaya beliau dapat meneruskan tugas sebagai Exco Kerajaan Negeri,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Empangan Jus, di sini, hari ini.
Ab. Rauf berkata, keputusan untuk menerima atau menolak peletakan jawatan tersebut adalah di bawah kuasa Ketua Menteri.
“Saya dah cakap dengan Ketua Menteri dan Ketua Menteri kata tolak,” selorohnya.
Sebelum ini, Dr. Muhamad Akmal mengumumkan hasrat untuk melepaskan jawatan itu ketika Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu. Bagaimanapun, beliau masih memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Keputusan tersebut dibuat susulan desakan pemimpin DAP berhubung kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
Sebelum ini, Ab. Rauf dilaporkan berkata, beliau tidak boleh membuat keputusan tergesa-gesa berhubung permohonan peletakan jawatan Dr. Muhamad Akmal kerana kerajaan negeri perlu merujuk serta berbincang terlebih dahulu dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.- KOSMO! ONLINE














