KULAI – Tindakan seorang pemuda menawarkan ‘kabel’ bagi menguruskan permit pekerja asing memakan diri apabila dia didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Kiki Sefti Mohd. Aini, 27, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Salini.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama lapan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara curang mendorong seorang pengusaha perniagaan membuat pindahan wang sebanyak RM1,500 bagi tujuan menguruskan permohonan permit kerja.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10.37 pagi di Jalan Dataran Kulai 1, di sini pada 1 April lalu.
Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang warga emas berusia 64 tahun turut dikenakan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah menjalankan aktiviti kutipan hutang bagi syarikat pinjaman wang tidak berlesen.
Mahkamah memerintahkan lelaki tersebut dipenjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mewakili agensi pinjaman wang untuk mengutip hutang tanpa kebenaran sah di kawasan TJ Mart, Saleng pada Mei tahun lalu.
Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Weng Hong manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Lim Seay Sean.-KOSMO! ONLINE














