fbpx
Musim kedua TTMM menyaksikan 10 pasangan anak beranak bakal berentap bagi merebut gelaran juara. 

TTMM2 : Anak Que Haidar, Adira mula berentap 19 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUSULAN sambutan positif musim sulung, Astro kini kembali dengan musim baharu program realiti ikonik, Talk To My Manager 2 (TTMM2).

Meneruskan momentum musim pertama yang berjaya menawan hati penonton menerusi gabungan cabaran kompetitif dan persembahan yang memukau, TTMM2 tampil dengan penyertaan lebih ramai selebriti. 

Musim kedua menampilkan barisan peserta yang lebih hebat selari dengan minat penonton terhadap naratif yang menyentuh emosi, menghiburkan serta sarat dengan nilai kekeluargaan, di samping meraikan legasi dan bakat. 

TTMM bukan sekadar pertandingan tetapi merupakan pentas yang meraikan legasi, bakat dan hubungan kekeluargaan.

“Kami amat berbesar hati dengan sambutan luar biasa terhadap musim pertama. Format unik ini memberi peluang kepada penonton menyaksikan sisi hubungan antara selebriti dan anak mereka yang jarang dikongsikan, sekali gus membuka ruang kepada generasi baharu untuk menyerlah. 

“Kami yakin TTMM2 akan terus memikat hati penonton dengan gandingan istimewa serta pelbagai kejutan yang lebih mengujakan,” kata Ketua Saluran Melayu Astro, Norzeha Mohd. Salleh.

10 pasangan anak-beranak

Musim kedua menyaksikan 10 pasangan anak beranak bakal berentap bagi merebut gelaran juara. 

Mereka termasuklah Adira bersama anak perempuannya Anggrek, Ani Maiyuni & Viviana, Datuk A. Aida & Azeva, Datuk Fazley & Fariedz Fazley, Datuk Seri Vida & Cik B, Jamilulhayat & Hussain, Linda Jasmine & Ratu, Nana Mahazan & Althea, Pak Azad & Amarra serta Safura & Kim Khairii.

Anak Adira, iaitu Anggerik yang berusia sembilan tahun menjadi peserta termuda untuk musim kali ini. 

Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, untuk musim kedua, pihak produksi membuka peluang kepada bakat seawal usia 7 tahun. 

“Kita cuba membawa bakat-bakat daripada pelbagai peringkat umur untuk menarik penonton yang berbeza. 

“Pemilihan peserta juga lebih ramai dan jumlah episod juga lebih banyak iaitu 10 minggu untuk musim kali ini,” kongsinya. 

Anak Ameng

Antara pasangan pengurus dan artis yang menarik perhatian untuk musim kali ini ialah Datuk A. Aida dan anaknya Azeva. Hal ini kerana, untuk musim pertama, bapa Azeva iaitu Ameng Spring terlebih dahulu terlibat dengan TTMM. 

“Ameng dengan cara Ameng, saya dengan cara saya. Saya pun ada berbincang dengan Ameng selepas ditawarkan menyertai TTMM2. Saya ajak dia datang pejabat saya. Alhamdulillah dia pun okey dengan penyertaan Azeva,” katanya. 

Sementara itu, Azeva tidak melepaskan peluang untuk meminta nasihat dan tip daripada bapanya yang sudah mempunyai pengalaman musim pertama. 

“Dia bagi tip supaya menjaga ekspresi muka apabila menyanyi. Kena pandang penonton. Mata jangan pandang sana sini.

“Dari segi vokal pula dia tekankan supaya menjaga pernafasan. Saya bersyukur apabila mendapat nasihat daripadanya,” jelasnya. 

Pasangan Linda Jasmine dan Tengku Ratu turut menjadi bualan ramai selepas nama mereka diumumkan sebagai antara peserta.

Mana tidaknya, selain memiliki ibu yang terkenal sebagai pereka tari, bapa Ratu juga merupakan pelakon terkenal, Que Haidar yang kini ‘sahamnya’ kian melonjak sejak kebelakangan ini. 

Menurut Linda, dia sudah mendapat tawaran sejak musim pertama, namun terpaksa menolak kerana belum bersedia.

“Ketika itu saya dan Ratu belum bersedia dan saya pun ada rasa takut sebab tak tahu program ini macam mana. 

“Saya terkejut bila pihak produksi memanggil kami lagi sekali untuk sertai TTMM2. Apa yang membuatkan saya lagi terkejut bila Ratu cakap dia nak sertai musim kedua. 

“Saya berkali-kali tanya pada dia sama ada dia betul-betul nak buat kerana ini merupakan sesuatu yang serius. Perlu dedikasi yang tinggi. Tapi dia yakin dia nak buat. Bila saya lihat dia jawab dengan yakin, jadi saya pun setuju,” ujarnya. 

Ditanya pandangan Que Haidar tentang penyertaan Ratu dalam TTMM2, pasangan anak beranak ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang perkara itu. 

TTMM2 turut menyaksikan kembalinya Datuk Aznil Nawawi sebagai pengacara, bersama barisan juri Che Puan Sarimah dan Datuk AC Mizal, yang terus tampil dengan kepakaran, panduan serta karisma tersendiri dalam memeriahkan program ini.

TTMM2 akan bersiaran mulai 19 April 2026, pukul 9 malam, secara langsung di Astro Ria (saluran 104).



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN