KESAN konflik di Asia Barat bukan sahaja dirasai di rantau bergolak itu, malah tempiasnya berisiko memberi impak besar kepada pengguna di Malaysia.
Ketidaktentuan geopolitik global mampu menggugat kestabilan ekonomi dunia termasuk negara membangun seperti Malaysia, sekali gus memberi tekanan kepada kehidupan harian rakyat.
Kenaikan harga minyak mentah, peningkatan kos logistik serta gangguan rantaian bekalan global menjadi antara cabaran utama yang dijangka dirasai pengguna dalam tempoh terdekat.
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, pengguna khususnya golongan B40 dan M40 dilihat paling terdedah kepada lonjakan kos sara hidup sekiranya harga barangan keperluan meningkat secara mendadak.
Lebih membimbangkan, wujud kemungkinan segelintir pihak mengambil kesempatan menaikkan harga tanpa justifikasi munasabah.
Sehubungan itu, pengguna disaran bersedia lebih awal dengan mengurus perbelanjaan secara berhemah dan merancang kewangan bagi menghadapi sebarang kemungkinan kesan berpanjangan konflik tersebut.
Ikuti wawancara Wartawan Kosmo! Ahad, Norlida Akmar Idros bersama Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff bagi mengupas impak sebenar konflik ini terhadap pengguna serta langkah bijak yang perlu diambil rakyat.
KOSMO! AHAD: Sejauh mana konflik di Asia Barat memberi tekanan kepada pengguna di Malaysia ketika ini? Adakah kesannya sudah dirasai atau kita masih di peringkat awal gelombang?
YUSRIZAL: Rakyat di beberapa negara sudah mula merasai impak akibat konflik tersebut, khususnya membabitkan bekalan petrol dan diesel yang terpaksa dicatu.
Di Malaysia, kesan paling awal yang dapat dilihat ialah kenaikan harga bahan api tanpa subsidi iaitu diesel kepada RM6.02 seliter, manakala RON95 naik kepada RM3.87 dan RON97 pada harga RM4.95 seliter.
Namun secara keseluruhannya, kebanyakan rakyat masih belum merasai sepenuhnya gelombang kenaikan kos tersebut kerana terdapat subsidi bahan api menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) yang kekal RM1.99 seliter.
Pengguna didapati masih berbelanja seperti biasa bagi persiapan Hari Raya Aidilfitri lalu.
Adakah rakyat Malaysia benar-benar sedar kesan konflik ini terhadap kehidupan harian mereka?
Setakat ini, belum berlaku kenaikan harga mendadak bagi barangan keperluan asas. Pada masa sama, pengguna masih menikmati subsidi bahan api melalui inisiatif seperti Budi Madani RON95 dan Budi Madani Diesel.
Walau bagaimanapun, pihak persatuan menjangkakan impak sebenar akan dirasai dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang. Apabila harga bahan api meningkat, kos logistik turut meningkat dan seterusnya memberi kesan kepada harga barangan di pasaran.
Malaysia juga masih bergantung kepada import makanan seperti beras, gandum dan gula. Buat masa ini, harga masih terkawal berkemungkinan disebabkan stok simpanan yang mencukupi.
Apakah aduan paling kerap diterima sejak konflik ini memuncak? Golongan mana paling terkesan?
Setakat ini, pihak persatuan belum menerima aduan serius berkaitan kenaikan harga melampau. Peniaga juga dilihat masih menawarkan harga berpatutan serta promosi sempena musim perayaan.
Namun, pengguna diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan kenaikan harga pada masa hadapan. Jika konflik berlarutan, semua lapisan masyarakat berpotensi terkesan, terutama golongan berpendapatan rendah.
Bagaimana konflik ini mempengaruhi harga barang keperluan asas?
Kenaikan harga bahan api akan memberi kesan berantai kepada semua sektor. Walaupun kenaikan hanya satu sen, ia tetap memberi impak kepada kos pengangkutan dan harga barangan.
Jika konflik berpanjangan tanpa penyelesaian, harga bahan api dijangka terus meningkat. Ini sekali gus akan menyebabkan harga makanan dan barangan asas turut naik.
Adakah kenaikan harga berpunca daripada konflik semata-mata atau wujud manipulasi harga?
Terdapat dakwaan segelintir peniaga menggunakan alasan konflik global untuk menaikkan harga. Dalam kebanyakan kes, harga yang sudah meningkat sukar untuk diturunkan semula walaupun kos menurun.
Situasi ini menunjukkan perlunya pemantauan lebih ketat oleh pihak berkuasa. Penguatkuasaan undang-undang juga perlu diperkasakan bagi melindungi pengguna daripada eksploitasi.
Adakah situasi ini boleh meningkatkan hutang isi rumah?
Keadaan ini berpotensi mendorong peningkatan hutang, khususnya dalam kalangan golongan muda. Apabila kos sara hidup meningkat, ada yang tidak mampu menampung perbelanjaan harian.
Contohnya, terdapat penjawat awam yang hanya mempunyai baki sekitar RM400 untuk perbelanjaan bulanan selepas menjelaskan komitmen bulanan. Jumlah tersebut jelas tidak mencukupi sekiranya harga barangan terus meningkat. Akibatnya, mereka terpaksa berhutang untuk meneruskan kehidupan.
Sejauh mana pengguna perlu bersedia menghadapi kenaikan harga?
Golongan berpendapatan rendah atau B40 kebanyakannya sudah biasa menjalani kehidupan secara berjimat. Namun, semua pengguna disarankan mengurangkan perbelanjaan tidak perlu seperti makanan dan minuman mahal atau yang bersifat trend semasa.
Perbelanjaan gaya hidup seperti melancong ke luar negara juga boleh dikurangkan buat sementara waktu. Penggunaan pengangkutan awam atau berkongsi kenderaan boleh membantu menjimatkan kos harian. Selain itu, perancangan kewangan yang teliti amat penting bagi memastikan kelangsungan hidup dalam tempoh mencabar ini.
Apakah kesilapan paling biasa yang dilakukan pengguna ketika berdepan tekanan ekonomi?
Pengguna perlu membuang budaya fear of missing out iaitu perasaan takut terlepas sesuatu yang orang lain nikmati. Ada juga yang masih berpegang kepada konsep ‘biar papa asal bergaya’ dan berbelanja tanpa kawalan. Sikap ini tidak wajar diteruskan kerana hanya akan membebankan kewangan dalam keadaan ekonomi tidak menentu.
Adakah kemungkinan boleh berlaku pembelian panik?
Setakat ini, tidak berlaku pembelian panik dalam kalangan pengguna di Malaysia. Namun, pengguna dinasihatkan supaya tidak bertindak demikian kerana boleh mencetuskan kekurangan bekalan secara tidak langsung. Sebaliknya, beli barangan mengikut keperluan dan elakkan pembaziran.
Apakah langkah paling praktikal untuk berjimat?
Pengguna disarankan mempunyai simpanan dalam tabung kecemasan sebagai persediaan menghadapi situasi tidak dijangka. Kesedaran tentang kepentingan menyimpan perlu dipupuk lebih awal, bukan hanya ketika atau selepas berlakunya krisis.
Walaupun jumlah simpanan kecil, ia tetap memberi manfaat pada waktu kecemasan. Selain itu, pengguna juga digalakkan membandingkan harga sebelum membeli serta memilih barangan tempatan yang lebih murah.
Adakah wajar rakyat mencari pendapatan tambahan?
Dalam keadaan ekonomi mencabar, ramai yang mula mencari sumber pendapatan tambahan. Pengguna digalakkan menceburi bidang perniagaan kecil atau ekonomi gig bagi menambah pendapatan.
Namun, mereka perlu berhati-hati agar tidak terjebak dengan pelaburan tidak sah atau penipuan dalam talian. Keinginan mendapatkan keuntungan cepat sering menyebabkan pengguna terperdaya dengan skim tidak wujud.
Kesedaran dan pengetahuan kewangan penting bagi mengelakkan kerugian lebih besar. Secara keseluruhannya, pengguna perlu lebih bijak mengurus kewangan, berbelanja secara berhemah dan membuat perancangan jangka panjang bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global. -KOSMO! ONLINE















