fbpx
Norazmi (tengah) hadir dalam Program Taklimat Khidmat Mediasi & Justice On Wheels Utara 2026 di Parit Buntar hari ini.

Bantuan guaman RM10 untuk rakyat gaji bawah RM50,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PARIT BUNTAR – Jabatan Bantuan Guaman (JBG) menegaskan komitmennya dalam memastikan akses keadilan kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dengan menawarkan bantuan guaman pada kadar minimum serendah RM10.

Ketua Pengarah JBG, Datuk Norazmi Mohd. Narawi berkata, bantuan tersebut layak diberikan kepada individu yang berpendapatan tahunan RM50,000 ke bawah, dengan syarat kes yang dikendalikan berada dalam bidang kuasa jabatan berkenaan.

Menurut beliau, pendekatan itu mencerminkan usaha kerajaan untuk memastikan perkhidmatan guaman tidak hanya tertumpu kepada golongan berkemampuan, sebaliknya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Bagi mereka yang berpendapatan RM50,000 ke bawah, kita sediakan bantuan guaman penuh dengan bayaran hanya RM10,” katanya selepas menghadiri Program Taklimat Khidmat Mediasi dan Justice On Wheels (JoW) Utara 2026 di Parit Buntar di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, bantuan turut boleh dipertimbangkan bagi individu berpendapatan antara RM50,000 hingga RM70,000 setahun, bergantung kepada jenis dan keperluan kes, terutama jika melibatkan kos perundangan yang tinggi.

Katanya, dalam kes seperti perceraian atau hak penjagaan anak, kos guaman di pasaran boleh mencecah ribuan ringgit, sekali gus membebankan pihak yang terlibat sekiranya tidak dibantu.

Selain itu, bagi kes tertentu yang melibatkan pendapatan melebihi RM70,000, bantuan masih boleh dipertimbangkan melalui saluran khas dan tertakluk kepada budi bicara serta pertimbangan menteri, sekiranya kegagalan mendapatkan bantuan boleh memudaratkan pihak terbabit.

“Sebarang bayaran yang dikenakan kepada pemohon akan digunakan untuk kos litigasi dan sekiranya terdapat lebihan, ia akan dipulangkan semula kepada individu berkenaan mengikut peruntukan undang-undang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN