PETALING JAYA – Keluarga murid yang meninggal dunia dalam tandas sekolah di Senawang, Negeri Sembilan pada 1 Oktober lalu menuntut keadilan ke atas kematian anak mereka dan mahu siasatan dijalankan dengan telus.
Mekanik, Muhammad Hafizuddin Abdullah, 40, berkata, anaknya tidak sepatutnya pergi dengan cara sedemikian dan mahu siasatan dilakukan sampai habis sama ada melibatkan unsur buli atau ugutan.
Katanya, setakat ini dia tidak menerima panggilan atau penjelasan rasmi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung kes anaknya, Allahyarham Iman Zhafran, 10.
“Kami nak keadilan. Saya tak dapat tidur secukupnya sejak kematian Iman Zhafran.
“Macam-macam kata kecaman netizen dilontarkan terhadap kami. Isteri dan saya kini alami gangguan emosi. Saya harap semua ini dihentikan,” katanya.
Menurut Muhammad Hafizuddin, dia tidak akan berhenti mendesak pihak pendakwa raya, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan semua yang terlibat untuk kemas kini kes kepada kami secara telus.
Terdahulu, KPM memaklumkan pihaknya mengambil perhatian penuh terhadap kenyataan keluarga Allahyarham dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia bagi memastikan semua elemen berkaitan kejadian itu disiasat secara menyeluruh.
Kelmarin, keluarga itu menuntut agar pihak pendakwaan membuka inkues bagi menentukan punca sebenar kematian kanak-kanak tersebut selepas lebih sebulan berlalu tanpa sebarang maklum balas rasmi.
Mereka juga mendakwa arwah pernah menerima ugutan untuk mati sehari sebelum kejadian dan perkara itu hanya diketahui ibu bapanya selepas kematian mangsa.
Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddin berkata, KPM perlu memastikan insiden tragis menimpa anaknya tidak berulang terhadap mana-mana pelajar lain.
“Jangan lindung atau senyapkan kes semata-mata untuk menjaga imej sekolah atau mana-mana pihak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, AGC telah memberi arahan terkini melalui kertas siasatan yang dipulangkan semula.
“Kita minta mana-mana pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan ketika ini,” katanya.














