KELAB Machan FC mengambil keputusan untuk menarik diri daripada saingan Liga A1 Semi Pro sekali gus digantuk untuk bersaing dalam kejohanan anjuran Liga Bola Sepak Amatur (AFL) pada musim depan.
Ketua Pegawai Operasi AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad mengesahkan pihaknya selaku badan pengelola liga divisyen kedua negara itu menerima surat rasmi daripada kelab berkenaan pada 3 April lalu.
Menurut Mohd Raimi, Machan FC membuat keputusan untuk menarik diri dibuat selepas mengharungi 22 perlawanan musim ini, meskipun pelbagai usaha dilakukan AFL bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi kelab itu.
“Machan FC secara rasmi menarik diri dari saingan Liga A1 Semi-Pro 2025/2026 menerusi surat yang dihantar kepada AFL pada 3 April 2026.
“Susulan penarikan diri itu, AFL mengumumkan semua keputusan perlawanan membabitkan Machan FC sebelum ini dibatalkan dan dianggap tidak sah, termasuk mata serta jaringan gol yang sudah direkodkan,” kata kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, Raimi menegaskan perjalanan Liga A1 Semi-Pro bagi musim 2025/2026 akan tetap diteruskan seperti dirancang, dengan semua jadual perlawanan babitkan Machan FC turut dibatalkan sepenuhnya.
Susulan daripada tindakan itu, Machan FC dikenakan hukuman penggantungan selama satu musim bagi kempen 2026/2027 daripada menyertai mana-mana pertandingan anjuran AFL, selain didenda RM20,000.
Kes itu juga akan dirujuk kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tindakan lanjut, termasuk kemungkinan hukuman tambahan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu. – KOSMO! ONLINE














