PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menganjurkan Karnival Mega JPJ Madani 2026 serta Sambutan Hari JPJ Ke-80 pada 24 hingga 26 April depan di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, penganjuran karnival berskala besar itu diadakan sempena ulang tahun ke-80 JPJ yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang tempoh pelaksanaan karnival itu selama tiga hari di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.
“Kita juga sentiasa menyokong usaha agensi swasta untuk bersama-sama dengan JPJ untuk menghebahkan inisiatif keselamatan jalan raya kepada rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Setia JPJ Bulan Mac 2026 di sini hari ini.
Aedy Fadly berkata, karnival itu juga merupakan inisiatif utama jabatan dalam menyampaikan perkhidmatan secara lebih berkesan, bukan sahaja melalui ketegasan penguatkuasaan, malah melalui keprihatinan dalam menyantuni rakyat. – KOSMO! ONLINE














