KAJANG – Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai melakukan gangguan seksual di pintu keluar Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kajang selepas tular sebuah video berdurasi 23 saat di aplikasi Thread.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan video tersebut pada pukul 9 pagi, semalam.
“Siasatan tempat kejadian dijalankan dan menerusi rakaman yang diviralkan mendapati satu lelaki dipercayai melakukan perbuatan tersebut. Tindakan mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu tersebut diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Kajang di talian 03-89114222 atau pegawai penyiasat, Sarjan Nor Atiqah Anuar di talian 013-7948922.
“Pihak polis juga menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan video tular yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh diambil terhadap mereka yang menyebarkan video tular sebegini,” katanya.
Sebelum ini seorang pengguna di aplikasi Thread mendakwa dia diraba oleh seorang lelaki ketika duduk menunggu di pintu keluar Stesen MRT Kajang.
Wanita itu bagaimanapun hanya sempat merakam arah belakang lelaki berbaju warna merah itu selepas beredar dari kawasan tersebut. – KOSMO! ONLINE














