ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan melaksanakan proses penanaman padi secara tabur terus kering (TTK) bagi Musim 1/2026 berikutan cuaca panas dan kemarau yang melanda negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, ia merupakan kaedah alternatif terbaik buat masa ini bagi memastikan kesemua 100,641 hektar sawah terus diusahakan, sekali gus menjamin bekalan beras negara.
Katanya, kaedah itu bagaimanapun mempunyai risiko tertentu termasuk hasil yang dijangka boleh merosot, ancaman pertumbuhan rumpai dan peningkatan kos mengusahakan sawah.
“Kaedah ini pernah dilakukan enam kali pada 1987, 1991, 1992, dan 1993 ketika Kedah dilanda panas. Pada 2017 dan 2020 pula TTK tidak diteruskan kerana hujan.
“Dari segil hasil, memang akan terkesan kita menjangkakan sekitar empat tan sehektar. Pada 1987, hasil tuaian hanya 2.3 tan, 1991 (3.5 tan), 1992 (3.1 tan) dan 1993 (3.9 tan). Bagi 2017 dan 2020 masing-masing 5.98 dan 5.96 disebabkan berlaku hujan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, proses membajak memerlukan sehingga lima pusingan untuk penyediaan tanaman secara TTK yang memerlukan kos tambahan selain benih lebih banyak dan racun untuk melawan rumpai.
“Buat masa ini, kaedah ini dilihat sebagai strategi terbaik bagi mengoptimumkan penggunaan sumber air yang terhad dan memastikan jadual penanaman dapat diteruskan tanpa bergantung sepenuhnya kepada bekalan air pengairan pada peringkat awal tanaman.
“Namun begitu, jika berlaku hujan kita tidak perlu bergantung penuh kepada kaedah TTK seperti dilalui pada 2017 dan 2020 yang akhirnya proses penanaman padi dilaksanakan seperti biasa,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.














