AMPANG JAYA – Sebanyak 25 sitaan dilakukan, 20 notis dikeluarkan dan 68 kompaun dikenakan dalam operasi penguatkuasaan terhadap halangan parkir di sekitar Pandan Jaya dan Pandan Indah, di sini hari ini.
Operasi bermula kira-kira pukul 9 pagi itu dilaksanakan oleh Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi melancarkan aliran trafik serta menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
“Penguatkuasaan ini dijalankan bagi mengelakkan penyalahgunaan ruang parkir awam oleh pihak tidak bertanggungjawab selain memastikan kemudahan itu digunakan secara adil oleh orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MPAJ memaklumkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkat dari semasa ke semasa.
Sehubungan itu, orang awam boleh menyalurkan aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MPAJ atau menghubungi talian bebas tol 1-800-22-8100. – KOSMO! ONLINE














