Tahniah diucapkan kepada 13,779 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran seperti yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) kelmarin.
Untuk rekod, seramai 395,740 calon SPM menduduki peperiksaan tersebut pada tahun lalu.
Saban tahun kita menyaksikan ribuan pelajar menamatkan SPM dengan harapan baharu biarpun ramai yang belum jelas atau masih kabur tentang perjalanan pelajaran mereka selepas ini.
Ramai yang berura-ura mahu memasuki matrikulasi, asasi atau meneruskan pengajian ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Ramai juga yang mahu meneruskan pembelajaran di peringkat diploma, kolej komuniti, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain sekolah teknik dan juga universiti awam.
Apa yang pasti, ramai yang keluar dari dewan peperiksaan tanpa hala tuju yang jelas walaupun mengetahui SPM itu penting, tetapi tidak mengetahui bagaimana keputusan itu menterjemah masa depan yang lebih gemilang.
Masih ramai ibu bapa yang mengharapkan anak-anak mereka meneruskan pengajian di universiti awam biarpun mengetahui peluang untuk mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian agak tipis.
Mereka masih berada pada tahap lama iaitu menganggap belajar di universiti satu kemestian dan menganggapnya sebagai pilihan utama.
Pada masa ini banyak peluang pekerjaan menanti graduan yang menamatkan pengajian di bidang teknikal seperti TVET dan ini menjadi salah satu peluang kepada lepasan SPM untuk merebutnya.
Apa yang menjadi masalah mentaliti kebanyakan orang masih menganggap bidang teknikal dan vokasional sebagai kelas kedua, sedangkan hakikatnya telah banyak berubah pada era media sosial.
Dalam hal ini, penting bagi lepasan SPM terutama yang mendapat keputusan cemerlang memilih institusi terbaik agar tidak tersalah langkah demi mengejar perjalanan karier selepas tamat pengajian nanti.
Mungkin ibu bapa dapat berbincang secara hati ke hati dengan anak masing-masing tentang apa yang mereka minat dalam menyambung pengajian dan tidak memberikan kuasa veto kerana yang ingin belajar adalah pelajar terbabit.
Jangan teruskan perangai ‘old school’ yang mendabik dada hanya kita yang mengetahui apa yang terbaik untuk anak-anak sedangkan pilihan di hadapan masih banyak untuk diteroka.
Kebanyakan pelajar sudah pasti mengetahui tentang maklumat permohonan kerjaya terkini di media sosial sekarang dari masa ke masa.
Ini semua kisah anak-anak cemerlang dalam SPM, bagi mereka yang kurang cemerlang jangan putus harapan seolah-olah dunia sudah mahu ‘kiamat’ sedangkan masih banyak peluang terbuka luas di depan sana. Tepuk dada tanya selera.














