KUALA LUMPUR – “Isteri saya ialah orang yang paling tahu semua perkara tentang saya.”
Itu komen pelakon Datuk Remy Ishak saat ditanya tentang perbuatannya meninggalkan emoji ‘love eyes’ pada foto aktres Indonesia, Aghniny Haque dalam Threads baru-baru ini.
Disebabkan meninggalkan komen seperti itu, ramai netizen mula memetik nama isteri Remy iaitu Ezza Yusof supaya memerhatikan tingkah laku suaminya.
Menurut Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 43, netizen bertindak seolah-olah mereka tahu semua perkara tentang dirinya.
“Aghniny ialah pelakon gandingan saya dalam filem baharu, Qhadam. Orang tak tahu perkara itu. Tetapi takkan semua perkara saya nak kena beritahu pada orang. Masyarakat kalau boleh nak tahu semua perkara tentang saya.
“Tapi bukan semua boleh kawan dengan saya. Bila mereka tak dapat mereka akan mulakan ayat-ayat yang tak bagus. Tetapi perlu ke saya melayan? Saya tak perlu jelaskan pada semua orang siapa kawan saya, saya nak balas komen siapa.
“Mereka tak perlu tahu pun. Tetapi bila mereka tak tahu menyebabkan mereka rasa seperti mereka kena tahu,” katanya ketika ditemui di tayangan perdana filem Mikael Pemburu Dua Alam, di sini, semalam.
Tambah Remy lagi, isterinya turut pelik dengan sikap netizen yang bertindak di luar batasan.
“Isteri saya pun cakap kenapa netizen ni pelik-pelik. Hubungan saya dan isteri sangat telus. Saya berlakon dengan siapa, apa semua dia tahu.
“Gambar AI yang saya buat yang viral dulu tu pun, saya tunjuk pada dia dulu sebelum muat naik dalam media sosial. Tetapi orang tak tahu. Saya tak boleh beritahu semua orang. Biarkan mereka dengan keluarga mereka,” ujarnya.
Terdahulu tindakan Remy meninggalkan komen emoji berbentuk love eyes pada foto Aghniny mencuri perhatian netizen. Lebih menghangatkan keadaan apabila foto-foto yang dikongsikan aktres jelita itu mempamerkan dirinya dalam keadaaan seksi.
Dalam perkembangan lain, filem lakonan Remy, Mikael Pemburu Dua Alam bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 2 April 2026. KOSMO! ONLINE














