KLANG – Seorang lelaki yang sebelum ini tular memandu secara mabuk dan khayal dadah sehingga mengakibatkan kematian penunggang motosikal di Jalan Raya Barat di sini, bakal didakwa di Mahkamah Klang, esok.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey dalam satu kenyataan ringkas malam ini.
“Pagi esok (suspek) dituduh di mahkamah,” katanya.
Terdahulu, suspek berusia dalam lingkungan 20-an direman selama empat hari bermula semalam dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang penunggang motosikal, Amirul Hafiz Omar, 33, maut dalam keadaan tragis apabila badannya melambung sebelum tercampak atas kenderaan lain selepas dilanggar kereta pada pukul 10.40 pagi.
Siasatan awal mendapati kereta jenis Honda City yang dipandu suspek dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum melanggar motosikal mangsa. Ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah selain memandu di bawah pengaruh alkohol. – KOSMO! ONLINE














