fbpx
Polis merampas selaras senapang buatan sendiri jenis bakakuk dipercayai milik suspek.

Mengumpat punca abang tembak mati adik kandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

‎‎TENOM – Tindakan seorang lelaki yang menembak adik kandungnya sampai mati dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Kengkawang, Jalan Kemabong kelmarin dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek selepas mendengar mangsa dan isteri bercakap buruk mengenainya.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, suspek yang berang kemudian dikatakan menembak mangsa dengan bakakuk dari jendela rumahnya dalam kejadian di Kampung Kangkawang, Jalan Kemabong kelmarin.

‎”Suspek sejak sekian lama dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental terutama selepas perceraian dengan isterinya dan salah seorang anak perempuan turut dipelihara oleh mangsa.

‎”Suspek tiba-tiba naik angin apabila menuduh mangsa bersama isterinya bercakap buruk mengenai dirinya di hadapan rumah mangsa yang boleh didengari dari rumahnya yang terletak bersebelahan pada pagi kejadian.

‎”Lelaki terbabit juga bertindak agresif menetak pokok buah naga milik mangsa menggunakan parang sebelum tidak berpuas hati lalu mengambil senjata api buatan sendiri miliknya.

‎“Tembakan dipercayai dilepaskan dari tingkap rumah suspek yang bersebelahan ke arah mangsa hingga menyebabkan adiknya itu maut di lokasi kejadian,” katanya.

‎Azmir berkata siasatan forensik masih dijalankan di lokasi dan beberapa barangan kes termasuk senjata bakakuk, peluru serta kelongsong peluru sudah dirampas untuk dianalisis lanjut.

‎Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh manakala siasatan lanjut masih diteruskan.

‎Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun disahkan meninggal dunia selepas dipercayai ditembak beberapa kali oleh suspek yang juga abang kandungnya.

‎Bagaimanapun, suspek berumur 57 tahun dilaporkan ditembak mati polis selepas enggan menyerah diri dan mengancam keselamatan anggota polis.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN