SHAH ALAM – Kadar caj pengangkutan bas pekerja terpaksa dinaikkan antara 20 hingga 25 peratus bermula hari ini susulan kenaikan mendadak harga diesel yang menekan kos operasi industri berkenaan.
Presiden Persatuan Pengusaha Bas Pekerja Malaysia, Jackie Chew Soo Mee berkata, pelarasan kadar itu merupakan langkah sementara bagi memastikan kelangsungan operasi, khususnya dalam kalangan pengusaha kecil dan sederhana.
Menurutnya, bahan api menyumbang kira-kira 35 peratus daripada keseluruhan kos operasi, sekali gus menjadikan kenaikan harga diesel memberi impak ketara kepada industri tersebut.
“Dalam tempoh hanya beberapa minggu, harga diesel meningkat secara mendadak sehingga menjejaskan margin keuntungan pengusaha. Ramai yang kini berdepan tekanan kewangan serius dan berisiko mengurangkan perkhidmatan atau menamatkan operasi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, harga diesel meningkat daripada sekitar RM3.04 seliter pada akhir Februari kepada RM5.52 seliter pada 26 Mac, iaitu kenaikan kira-kira 84.6 peratus.
Jelasnya, ini menyebabkan kos mengisi penuh tangki bas berkapasiti 200 liter turut melonjak daripada RM598 kepada RM1,104 dalam tempoh kira-kira empat minggu. -KOSMO! ONLINE














