PETALING JAYA – Nasib malang seorang pemandu yang cuba mengelak daripada melanggar kereta di hadapannya berakhir dengan situasi ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila akhirnya merempuh sebuah kenderaan polis.
Kejadian yang berlaku di bahu jalan itu dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu sebuah kereta yang gagal mengawal kenderaannya ketika cuba mengelak daripada melanggar sebuah kereta lain.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di Threads oleh pengguna Nrlsyafiqah2, kelihatan dua orang polis sedang berurusan menyaman seorang lelaki lain di tepi jalan.
Namun, suasana bertukar kecoh apabila sebuah kereta tiba-tiba hilang kawalan dan merempuh kereta peronda polis tersebut.
Rata-rata pengguna berseloroh berkata pemandu tersebut lagi sanggup melanggar kereta polis daripada merempuh kereta di hadapannya.
“Bawa kereta tak fokus. Vios biru itu dah lama perlahan,” ujar Anwar_Dynn.
“Dia nak elak kereta depan, sekali pergi langgar kereta polis,” jelas Devigaa_.
“Keluar mulut singa, masuk mulut naga. Mungkin dia nak tahu macam mana rasa langgar kereta polis kot,” kata Farah_Shazleen pula.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan perjalanan selamat. – KOSMO! ONLINE














