BACHOK – Seorang hafiz al-Quran dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok di sini mencipta sejarah apabila muncul antara pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Kelantan selepas memperoleh keputusan 12A+.
Dengan keputusan cemerlang tersebut, Muhammad Izz Darwisy Zamani, 18, turut dinobatkan sebagai pelajar nombor satu Kelantan.
Anak kedua daripada empat beradik dari Taman Guru 2, Tanah Merah itu berkata, dia tidak pernah menyangka akan berjaya kerana tidak terlalu menonjolkan diri sebagai calon berpotensi sebelum ini.
“Saya hanya fokus belajar secara konsisten terutama pada pertengahan tahun selain memperbanyakkan doa dan solat tahajud sebelum memulakan ulang kaji setiap pagi.
“Sepanjang minggu peperiksaan, saya dan rakan-rakan sepakat membaca Yasin bersama-sama bagi memohon keberkatan dan ketenangan,” katanya ketika ditemui SMKA Tok Bachok hari ini.
Muhammad Izz berkata, dia berjaya mendapat gred cemerlang tertinggi dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Bahasa Arab, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Hifz al-Quran dan Maharat al-Quran.
Katanya, teknik hafazan yang diamalkan sejak kecil turut membantu dalam mengingati pelajaran akademik. Muhammad Izz yang khatam hafazan al-Quran sejak tingkatan tiga turut menguasai bahasa asing termasuk Bahasa Arab, selain minat dalam permainan catur dan ping pong.- KOSMO! ONLINE














