fbpx
Gambar hiasan.

40% keperluan minyak mentah negara melalui Selat Hormuz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Petronas terus memantau rapi bekalan bahan api negara untuk membantu menjaga kestabilan di seluruh negara di tengah-tengah krisis Asia Barat.

Katanya dalam kenyataan semalam, walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, ia tidak terlindung sepenuhnya daripada krisis tersebut, dengan hampir 40 peratus daripada keperluan minyak mentah negara melalui Selat Hormuz.

“Sejak bermulanya krisis, harga minyak mentah telah meningkat hampir 40 peratus. Akibatnya, kos penghantaran global, premium insurans dan logistik berkaitan penghantaran juga telah meningkat dengan ketara. Semua perkembangan ini telah memberi kesan kepada keselamatan bekalan bahan api Malaysia.

“Dari segi produk, permintaan negara terus melebihi bekalan domestik. Bagi menangani kekurangan ini, Petronas memanfaatkan rantaian nilai bersepadunya, melalui anak syarikatnya untuk mendapatkan bekalan petrol dan diesel yang mencukupi bagi menyokong bahagian pasarannya hampir 50 peratus, sehingga Mei 2026.

“Bakinya dibekalkan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia,” katanya.

Kenyataan tersebut menambah, harga runcit bahan api di Malaysia dikawal selia oleh kerajaan melalui Mekanisme Penetapan Harga Automatik.

Walaupun terdapat tekanan global, kerajaan menyediakan subsidi untuk RON95 dan diesel untuk mengurangkan impak kepada rakyat, menjadikan harga bahan api di Malaysia kini antara yang terendah di rantau ini.

“Petronas akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk mengurus sebarang gangguan yang berpotensi dan mengutamakan keselamatan serta kesejahteraan tenaga negara.

“Memandangkan tempoh dan magnitud penuh perang di Iran masih tidak menentu, kami amat menyokong penggunaan tenaga yang lebih cekap oleh industri dan orang awam.

“Syarikat turut menasihati orang ramai untuk mengelakkan pembelian panik dan penimbunan bahan api kerana ini akan memburukkan lagi kesan krisis ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN