PETALING JAYA – Seruan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu agar rakyat bercucuk tanam sendiri dilihat mula mendapat sambutan dalam kalangan orang ramai, susulan kebimbangan terhadap isu bekalan makanan global.
Menerusi satu hantaran di laman Threads, @Doyonosfotros memuat naik gambar hasil tanaman pengalaman menanam kangkung secara hidroponik yang disifatkan mudah dan ‘anti gagal’.
“Pernah tanam kangkung cara hydroponic, memang seronok sangat sebab mesti jadi! Anti gagal! Lepas dah tuai, dia tumbuh ‘batch’ baru,”
Menurutnya, galakan daripada kerajaan sejak konflik Asia Barat turut mendorong orang ramai untuk mula menanam sayur sendiri sebagai langkah persediaan.
“Menteri pertanian pun dah galakkan tanam sayur sendiri semenjak konflik asia barat ni. Jom tanam sayur sendiri!” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, @Tarique.syahman tampil berkongsi beberapa tip asas bagi mereka yang baru ingin berjinak-jinak dalam dunia berkebun di rumah.
“Baru nak belajar berkebun? Nah abang bagi tips mahal untuk elak kekecewaan bagi ‘gardeners’ pemula,” katanya.
Antara cadangan yang dikongsikan termasuk penggunaan cocopeat sebagai medium tanaman, penggunaan baja AB serta teknik siraman tertentu bagi memastikan tanaman lebih menjadi.
Dalam pada itu, pengguna @Faridrahimi5 pula mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pembelian panik terhadap barangan makanan, sebaliknya lebih bijak membuat persediaan sendiri.
“Tak payah ‘panic buying’. Kalau nak ‘panic’, belilah alat bercucuk tanam, benih sayur dan kelengkapan tanaman secara vertical,” katanya.
Selain itu, pengguna @Margiebengz turut berkongsi gambar hasil kebun mini di balkoni rumahnya sebagai usaha menyahut seruan kerajaan.
“Menyahut seruan kerajaan untuk bercucuk tanam,” ujarnya.
Terdahulu, Mohamad menggalakkan rakyat memanfaatkan ruang terhad di rumah untuk bercucuk tanam sebagai langkah meningkatkan keterjaminan makanan negara. – KOSMO! ONLINE.














