fbpx
TIDAK selesa dengan ‘kebaikan’ hati sesetengah lelaki ketika bersenam gimnasium mendorong Wafariena untuk berdikit-dikit membeli peralatan senaman sendiri di rumah.

‘Pergi gim ramai nak tolong, workout sejam jadi 3 jam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GARA-GARA kesempurnaan aset fizikal yang dimiliki, pelakon Wafariena pernah didakwa ada menjalani pembedahan kosmetik pada bahagian punggung.

Menafikan kata-kata tidak puas hati banyak orang, Wafariena akhirnya membuka mulut, menjelaskan rutin yang dilalui di sebalik fizikal yang dimiliki. Semua itu adalah hasil disiplin senaman konsisten yang diamalkan sejak bertahun-tahun lamanya.

Mengakui sangat mengidolakan bentuk tubuh personaliti antarabangsa, Kim Kardashian sebagai penanda aras, Wafariena menjadikan bintang realiti itu sebagai pembakar semangat untuk terus gigih bersenam demi mendapatkan bentuk badan impian.

Berkongsi lebih lanjut mengenai senaman, wanita berusia 31 tahun itu juga sanggup membina gimnasium di rumah gara-gara pengalaman sering diganggu segelintir golongan lelaki setiap kali berkunjung di pusat senaman.

“Saya buat senaman di rumah, barang semua dah ada di rumah sebab bukan tak pernah pergi gimnasium.

“Pernah pergi tapi isunya ramai orang nak tolong. Saya workout sejam tapi boleh jadi sampai tiga jam.

“Jadi, saya buat keputusan untuk beli barang dan ‘parking’ dalam rumah untuk bersenam,” katanya kepada HibGlam.

Menceritakan lebih terperinci, pelakon drama popular 7 Hari Mencintaiku 2 itu memaklumkan golongan lelaki yang berada di gimnasium selalu menawarkan khidmat pertolongan buat dirinya tanpa diminta.

“Ada waktu saya workout, mereka nampak saya pegang alatan. Kadang-kadang salah pegang, tersenget atau tengah rehat, dia datang cuba nak pegang tangan dan tunjuk cara.

“Sampai ada nak terlepas, nasib tak kena kaki. Saya cakap boleh buat sendiri, dia datang lagi.

“Akhirnya saya buat keputusan nak bersenam di rumah sahaja,” jelasnya.

Ditanya mengenai gimnasium di rumah, anak kelahiran Pulau Pinang itu mula membeli peralatan senaman sedikit demi sedikit mengikut keperluan dan bajet yang ada.

“Lama dah saya sediakan alatan senaman di rumah. Tak ingat bermula dari tahun berapa. Saya pula jenis beli sikit-sikit bukan beli sekaligus. Apa yang perlu saya akan beli dulu,” tuturnya yang sudah berhabis sekitar RM5,000 untuk alat senaman.

Tambahnya: “Setakat ini saya saya tiada treadmill, saya buat gimnasium sendiri di rumah tak sampai RM5,000. Insya-Allah kalau ada rezeki lebih, saya akan tambah lagi.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN