PETALING JAYA – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) komited untuk memastikan sekuriti air negara sentiasa terpelihara melalui pemerkasaan teknologi dan inovasi berasaskan saintifik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu selaras dengan Agenda Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040) melalui pelaksanaan projek penyelidikan berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menurutnya, salah satu pendekatan yang telah dilaksanakan adalah dengan penubuhan Pasukan Forensik Banjir Malaysia (FORBiM) sejak akhir 2025 sebagai usaha menangani masalah banjir yang menyebabkan kerugian kepada negara dan menjejaskan aktiviti sosio-ekonomi.
“Sebagai permulaan, pasukan FORBiM Kuala Lumpur sedang menjalankan forensik berasaskan data dan bukti saintifik bagi menyiasat punca sebenar kejadian banjir.
“Selain itu, pasukan ini turut menilai keupayaan infrastruktur sedia ada,
dan seterusnya membolehkan strategi tebatan banjir yang lebih inovatif
termasuk aspek pemantauan dan penyelenggaraan yang lebih efisien,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, pengurusan banjir turut diperkukuh melalui teknologi simpanan air lebihan secara takungan dasar sungai, pendekatan berasaskan semulajadi dan kolam takungan pelbagai fungsi.
“Beberapa produk tempatan juga sedang dibangunkan bagi mengurangkan impak banjir kepada komuniti seperti ‘PETRAN (PETRA – NAHRIM) Tembok Penahan Banjir Automatik’, dan ‘PETRAN Dinding Tebatan Banjir Mudah Alih’,”katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihak kementerian juga telah memulakan penyelidikan forensik pantai bagi menilai keberkesanan sistem perlindungan terhadap masalah hakisan pantai dan limpahan air laut.
Jelas beliau, langkah itu sebagai adaptasi terhadap impak iklim dan pembangunan pesisir yang terdedah kepada peningkatan aras laut serta ancaman ombak besar.
“Produk inovasi tempatan juga sedang dibangunkan bagi meningkatkan
kestabilan garis pantai, memperkukuh struktur perlindungan dan ban pantai, serta memastikan kelangsungan proses angkutan endapan pesisir semulajadi.
“Melalui Makmal Hidraulik dan Instrumentasi (MHI) NAHRIM, aplikasi pemodelan fizikal dapat memberikan cadangan penyelesaian
berdasarkan verifikasi dan reka bentuk yang optimum sebelum pembinaan sebenar bagi menjamin keselamatan struktur dan keberkesanan kos projek,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














