KUALA NERUS – Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) melonggarkan etika pemakaian murid dan pelajar sekolah di negeri ini sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi cuaca panas pada masa ini.
Pengarah Pendidikan Terengganu, Kamsah @ Kamal Mohamed berkata, biarpun cuaca di negeri ini belum mencapai tahap ekstrem, kesemua lebih 300,000 murid dan pelajar sekolah di negeri ini dibenarkan tidak memakai tali leher dan membutang baju penuh hingga ke atas.
“Pengurusan sekolah juga diberi mandat agar membenarkan murid dan pelajar mereka memakai pakaian bersesuaian seperti pakaian sukan sekiranya cuaca terlalu panas.
“Begitupun setakat ini, suhu tertinggi direkodkan di Terengganu sekitar 33 darjah celsius dan ia masih terkawal,” katanya selepas meninjau sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Tumbuh di sini hari ini.
Kamsah juga menyarankan ibu bapa murid dan pelajar di 507 sekolah di Terengganu membekalkan anak mereka dengan air minuman sebagai langkah menghadapi cuaca panas.
Beliau berkata, bekalan air minuman mencukupi penting bagi memastikan semua murid dan pelajar terbabit kekal terhidrat sepanjang sesi persekolahan sekali gus mengelakkan sebarang risiko kesihatan seperti strok haba.
“Pengurusan sekolah turut diminta menyediakan kemudahan air minuman seperti mesin penapis air mencukupi.
“Kita mahu murid dan pelajar termasuk yang berada di sekolah berasrama mudah mendapatkan air pada bila-bila masa,” katanya. – KOSMO! ONLINE














