BEACH Street merupakan antara kawasan paling bersejarah yang pernah berfungsi sebagai pusat kewangan dan perdagangan sejak era kolonial.

Nafas baharu arked The White Aways

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMELIHARAAN warisan dan inovasi moden merupakan antara elemen yang menjadikan destinasi percutian di Malaysia berbeza dari negara luar.

Ia bukan sahaja mencerminkan sejarah gemilang sesuatu kawasan, tetapi juga melambangkan evolusi bandar warisan ke arah destinasi gaya hidup yang dinamik, lestari dan relevan dengan generasi masa kini.

Antara lokasi bersejarah yang kini mendapat nafas baharu adalah arked The White Aways (TWA) yang terletak di Beach Street atau Lebuh Pantai yang berada di George Town, Pulau Pinang.

Merujuk kepada majalah PPB Living, arked TWA merupakan salah satu bangunan warisan kolonial paling ikonik di Beach Street, George Town, Pulau Pinang dan kini menjadi pusat komersial serta seni yang menggabungkan sejarah dan gaya moden

Bangunan ini dibina sekitar awal tahun 1900-an ketika Beach Street merupakan pusat kewangan dan perdagangan utama di George Town pada zaman penjajahan British.

“Arked TWA merupakan salah satu mercu tanda perdagangan dan perniagaan di Pulau Pinang dan mempamerkan keindahan seni bina serta ketahanan budaya.

“Terletak di sepanjang Beach Street, ia juga mencerminkan era kegemilangan aktiviti komersil dan semangat kemajuan para eranya,” katanya dalam penerbitan tersebut.

Katanya lagi, seiring peredaran zaman, bangunan ini mula melalui zaman sukar, keagungannya semakin pudar akibat pengabaian.

Menjelang penghujung abad ke-20, sebahagian identiti asalnya telah hilang susulan aktiviti penyelenggaraan yang tidak berkualiti menjadikan strukturnya semakin rapuh.

Susulan itu, selepas George Town diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2008, kerja pemulihan dan restorasi bangunan ini dimulakan oleh PPB Properties bagi memulihkan semula nilai sejarah dan seni bina asalnya.

Menyedari nilai sejarah dan seni bina bangunan tersebut, pihak PPB Properties sekali gus mengambil inisiatif untuk memulihkan bangunan ini melalui projek restorasi yang teliti dengan mengekalkan identiti asal bangunan warisan tersebut.

PPB Living turut menulis bahawa, projek restorasi ini memberi penekanan kepada pemuliharaan elemen seni bina asal bangunan.

“Antara ciri yang dikekalkan termasuk fasad bangunan bergaya kolonial, tingkap tinggi melengkung, tiang besi tuang, tangga granit, siling tinggi serta ruang halaman tengah atau courtyard yang menjadi ciri utama bangunan arked lama.

“Pendekatan restorasi ini bukan sekadar membaiki bangunan lama, tetapi memulihkan semula karakter sejarah bangunan agar kekal seperti bentuk asalnya lebih 100 tahun lalu,” ujarnya.

 

WAJAH terkini Beach Street dengan suntikan nafas baharu dan pada masa sama masih mengekalkan nilai warisan.

Pendekatan adaptif ini mengekalkan fasad klasik sambil memperkenalkan suasana moden yang menarik golongan muda dan pelancong.

Dalam masa yang sama, PPB Properties turut melakukan penambahbaikan dari segi struktur bangunan, sistem elektrik, pencahayaan, pengudaraan dan kemudahan moden supaya bangunan ini sesuai digunakan sebagai ruang komersial masa kini.

Pendekatan ini dikenali sebagai adaptive reuse, iaitu menggunakan semula bangunan lama untuk fungsi baharu tanpa merobohkan struktur asal. Kaedah ini semakin popular dalam projek pemuliharaan bangunan warisan di seluruh dunia.

Selepas kerja restorasi siap, The Whiteaways Arcade kini berfungsi sebagai ruang komersial, seni dan komuniti yang menempatkan kafe, restoran, kedai runcit, galeri seni, pejabat kreatif serta ruang acara.

Halaman tengah bangunan boleh digunakan untuk pameran seni, acara budaya, persembahan muzik dan pelbagai program komuniti, sekali gus menjadikan bangunan ini sebagai ruang sosial dan budaya di tengah bandar warisan George Town.

Persekitaran ini mewujudkan pengalaman pelancongan yang autentik di mana pengunjung boleh menikmati kopi artisan dalam bangunan berusia lebih 100 tahun.

Restorasi The Whiteaways Arcade juga memberi impak besar kepada pembangunan semula kawasan Beach Street yang suatu ketika dahulu merupakan pusat kewangan Pulau Pinang.

Projek ini membantu menghidupkan semula kawasan tersebut dengan aktiviti ekonomi, pelancongan dan seni, selari dengan status George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Bangunan warisan yang dipulihkan bukan sahaja menjadi tarikan pelancong, malah memberi nilai ekonomi baharu kepada kawasan bandar lama.

Usaha restorasi oleh PPB Properties menunjukkan bahawa bangunan warisan boleh dipelihara dan pada masa yang sama digunakan untuk tujuan moden.

Arked The Whiteaways menjadi contoh bagaimana sejarah, seni bina dan pembangunan moden boleh digabungkan dalam satu ruang yang sama, sekali gus memastikan warisan bandar terus hidup dan relevan untuk generasi akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN