PETALING JAYA – Selepas lama menyimpan rahsia, penyanyi Didi Astillah akhirnya meluahkan rasa lega apabila hubungan cinta kakaknya, Bella Astillah bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kini terbuka kepada umum.
Didi atau nama sebenarnya Dayang Nazillah Awang Astillah, 30, mengakui penantian tersebut bukan mudah apabila terpaksa menjaga setiap tutur kata demi melindungi kisah cinta pasangan berkenaan.
“Memang penat simpan rahsia. Saya sangat gembira akhirnya dapat beritahu mereka sebenarnya sedang bercinta.
“Sebelum ini saya sentiasa berjaga-jaga, takut terlepas cakap. Sekarang sudah boleh kongsi video manis mereka,” katanya dalam sebuah video.
Dalam keterujaan tersebut, Didi turut menitipkan pesanan penuh makna buat Syed Saddiq agar menjaga kakaknya, atau mesra disapa Kak Long, dengan sebaiknya hingga ke fasa perkahwinan.
“Pesanan saya buat abang Saddiq, semoga dapat jaga hubungan ini dengan baik bersama Kak Long dan bawa sampai ke jenjang pelamin, insya-Allah,” ujarnya.
Menurut Didi, sepanjang tempoh merahsiakan hubungan itu, dia turut menyimpan banyak rakaman video momen indah pasangan tersebut sebagai kenangan peribadi.
“Sebenarnya dari dulu lagi sudah banyak momen manis. Tapi ada lagi lebih manis, cuma sabar dahulu.
“Kita bagi mereka bertunang dulu,” tuturnya berseloroh.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, rata-rata tumpang gembira melihat kebahagiaan pasangan itu.
“Semoga hubungan ini dipermudahkan sampai kahwin.
“Sweet sangat, tak sabar tengok detik seterusnya,” tulis beberapa netizen.
Terdahulu, selepas lebih dua bulan dilamar, Bella sah bergelar tunang kepada Syed Saddiq dalam sebuah majlis tertutup di Bamboo Hills, Hulu Kelang sekitar pukul 3.35 petang.
Ikatan tersebut dimeterai menerusi perwakilan kedua-dua keluarga, masing-masing diwakili bapa mereka, Syed Abdul Rahman Abdullah Al-Sagof dan Awang Astillah Abdullah @ Dullah.
Difahamkan, sekitar 150 tetamu terdiri daripada ahli keluarga serta kenalan terdekat hadir memeriahkan majlis penuh bermakna itu. – KOSMO! ONLINE.














