KOTA TINGGI – Permohonan beberapa bekas pemimpin UMNO termasuk bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk kembali menyertai parti itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 17 April depan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu akan dibincangkan berlandaskan semangat gagasan Rumah Bangsa, namun keputusan sama ada permohonan tersebut diluluskan atau sebaliknya belum dapat dipastikan.
“Saya akan bawa perkara ini dalam Mesyuarat MKT atas semangat Rumah Bangsa, semangat Hari Raya Aidilfitri dan Ramadan.
“Kenyataan Presiden parti sebelum ini kita lihat sebagai sesuatu yang positif dan saya percaya akan ada keputusan yang baik ke arah menjayakan Rumah Bangsa,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Projek JanaVeteran di Telok Sengat di sini hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa berkata, pihaknya masih mengumpul permohonan daripada bekas pemimpin dan ahli UMNO yang ingin kembali menyertai parti tersebut.
Menurutnya, tiada tempoh khusus ditetapkan setakat ini untuk permohonan berkenaan dikemukakan.
Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO termasuk Hishammuddin, Shahril Sufian Hamdan, Mohd Salim Sharif dan Maulizan Bujang digantung keahlian selama enam tahun.
Selain itu, Noh Omar dan Khairy Jamaluddin pula dipecat daripada parti susulan pelanggaran disiplin ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Keputusan penggantungan dan pemecatan itu dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO pada 27 Januari 2023.
Bagaimanapun, Mohamed Khaled melihat perkembangan terbaharu ini sebagai satu petanda positif dalam usaha memperkukuh perpaduan parti melalui pendekatan Rumah Bangsa.-KOSMO! ONLINE














