PETALING JAYA – Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM2.36 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 untuk dua dana harga tetapnya, iaitu Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM).
ASB 2 mengisytiharkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM0.82 bilion, bersamaan 5.50 sen seunit kepada 680,141 pemegang unit yang kini memiliki 15.88 bilion unit.
ASM pula mengisytiharkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM1.54 bilion, bersamaan 5 sen seunit kepada 786,088 pemegang unit dengan pegangan 31.22 bilion unit.
Sehingga 24 Mac 2026, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM0.9 bilion, manakala ASM mencatatkan RM1.64 bilion.

Menurut PNB, pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 2 dan ASM adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana.
“Pengagihan yang diisytiharkan oleh dana-dana ini akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2026,” katanya dalam kenyataan semalam.
Urus niaga ASB 2 dan ASM di cawangan-cawangan dan ejen-ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet akan ditangguhkan sementara dari 27 hingga 31 Mac 2026 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.
Pemegang unit boleh menyemak pengagihan pendapatan dan meneruskan transaksi di portal myASNB (www.myasnb.com.my) atau melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara pada 1 April 2026. – KOSMO! ONLINE














