PETALING JAYA – Aliran trafik di kebanyakan lebuh raya utama menghala ke Lembah Klang dilaporkan terkawal setakat malam ini berikutan sebahagian besar warga kota telah pun pulang ke kediaman masing-masing.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, meskipun keadaan terkawal, beberapa lokasi masih mencatatkan pergerakan perlahan susulan faktor cuaca dan insiden kecemasan.
“Di Plaza Tol Gombak, kesesakan sepanjang dua kilometer (km) dikesan berlaku sebentar tadi akibat hujan lebat yang kawasan berkenaan, namun keadaan kembali beransur pulih.
“Bagi Lebuh Raya Utara-Selatan (E1), aliran dari Jitra sehingga ke Sungai Buloh secara keseluruhannya lancar. Bagaimanapun, trafik dari arah Kuala Lumpur ke Jitra dilaporkan perlahan di sekitar Juru,” katanya.
Tambahnya, bagi perjalanan dari arah Utara ke ibu kota, trafik hanya dikesan perlahan dari Sungkai ke Slim River susulan kejadian sebuah lori terbakar dimana Insiden tersebut menyebabkan lorong kecemasan terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi kerja-kerja pembersihan.
Sementara itu, di Lebuh Raya Utara-Selatan (E2) melibatkan sektor Selatan, pergerakan kenderaan dilaporkan perlahan dari Putra Mahkota ke Nilai Utara.
“Situasi dari Port Dickson sehingga ke Senawang pula dilaporkan lancar sehingga ke Johor Bahru (JB). Bagi pengguna dari arah JB ke Lembah Klang, aliran hanya sedikit perlahan di kawasan Senai, namun kembali lancar selepas melepasi zon tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, trafik dilaporkan perlahan dari arah Bentong menghala ke Lintang, manakala di lokasi lain seperti Meru ke Ipoh Utara (E1) turut menunjukkan pergerakan perlahan malam ini. – KOSMO! ONLINE














