fbpx
FATIN (kiri) secara keseluruhan membawa pulang dua perak dan satu gangsa pada Piala Asia di Bangkok.

Fatin terlepas dua pingat emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMANAH berpengalaman negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh tetap berbangga meraih dua pingat perak pada Kejohanan Memanah Piala Asia 2026 (Peringkat 1) meskipun impian memburu emas terlepas hanya dengan perbezaan tipis di Bangkok, Thailand semalam.

Fatin terlebih dahulu turun bersama Mohd. Juwaidi Mazuki dalam acara compound berpasukan campuran, namun gagal mengekang keampuhan pemanah dari India, Chikitha Taniparthi-Rajat Chauhan apabila tewas 156-158.

Lebih mendebarkan, aksi final individu menyaksikan Fatin hampir mencipta kejutan sebelum tewas dengan perbezaan satu mata, 144-145 kepada pemanah dari Russia, Arina Cherkezova.

Mengulas prestasi, Fatin tetap berpuas hati walaupun terlepas peluang menamatkan penantian untuk kembali ke pentas final individu dengan kilauan emas.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati. Bukan senang nak ke final dan saya pun agak lama tak masuk final untuk acara individu.

“Untuk aksi final tadi, walaupun permulaan tak berapa cantik, saya cuba kawal keadaan dan kekalkan momentum hingga anak panah terakhir.

“Perbezaan tiga mata pada aksi pertama hingga ke penghujung yang hanya satu mata memang beri tekanan, tapi saya tetap gembira dengan prestasi ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurutnya, pengalaman beraksi dalam dua final serentak memberikan suntikan keyakinan tambahan, khususnya dalam aspek kawalan emosi dan konsistensi di bawah tekanan tinggi.

Fatin berkata, keupayaan untuk kekal fokus hingga ke panahan terakhir menjadi antara perkara positif yang boleh dibawa ke kejohanan seterusnya.

Kejayaan mara ke dua final dianggap pencapaian besar buat Fatin yang kembali menemui rentak terbaik selepas melalui musim lalu yang kurang memberangsangkan.

Untuk rekod, pencapaian individu tersebut menyaksikan Fatin meraih pingat perak kedua di pentas Asia selepas edisi 2019 selain pernah meraih emas berpasukan campuran bersama Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli pada edisi tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN